Bhumi Pednekar dedah cabaran dari keluarga untuk bergelar bintang filem | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Bhumi Pednekar dedah cabaran dari keluarga untuk bergelar bintang filem

Penulis: Nisa Irina

Bhumi Pednekar tak putus asa untuk kejar impian sebagai pelakon.
Bhumi Pednekar tak putus asa untuk kejar impian sebagai pelakon.

27 Okt – Aktres Bollywood Bhumi Pednekar mendedahkan bahawa keluarganya bersikap skeptikal terhadap keputusannya untuk menceburi bidang lakonan kerana mempercayai menjadi heroin filem Hindi dianggap tabu.

Menurut aktres yang sudah lima tahun mengukuhkan nama sebagai bintang filem itu, ia adalah satu cabaran besar untuk mengejar impiannya memandangkan keluarganya bukan berlatar belakangkan industri perfileman.

"Saya terfikir bagaimana untuk saya teruskannya, bagaimana saya boleh yakinkan ibu bapa saya yang saya ingin jadi seorang pelakon.

"Dalam keluarga saya, walaupun terdahulu datuk saya merupakan pelakon teater, menjadi heroin filem Hindi dianggap sebagai tabu hingga beberapa tahun lalu.

"Saya tak rasa orang lain faham betapa indahnya kerjaya ini. Saya tak salahkan keluarga saya. Saya berasal dari keluarga peguam, jurutera dan doktor. Bagi mereka, ia adalah keputusan yang luar biasa untuk menjadi pelakon," katanya yang dipetik dari Mid-Day.

Setelah berjaya meyakinkan ibu bapanya tentang keputusannya, Bhumi akhirnya didaftarkan ke sebuah sekolah filem pada usia 16 tahun, di mana dia telah membuat pinjaman pelajar bagi membayar yurannya.

Walau bagaimanapun, aktres filem "Lust Stories" itu akui kesal dengan sikapnya yang tidak berdisiplin ketika zaman belajar sehingga ia menjejaskan pembelajarannya dan kepercayaan ibu bapanya.

Lebih setahun selepas itu, Bhumi sekali lagi mencuba nasib untuk menceburi bidang perfileman, di mana dia menyertai uji bakat syarikat produksi Yash Raj Films sebagai penolong pengarah dan bekerja selama hampir enam tahun.

Pada 2015, Bhumi akhirnya berjaya membuat debut di layar perak apabila dipilih untuk membintangi filem komedi romantik "Dum Laga Ke Haisha" bersama aktor gandingannya, Ayushmann Khurrana.

Kini Bhumi mempunyai lebih sepuluh buah filem yang pernah dibintanginya. Dalam perkembangan baru, Bhumi akan dilihat berlakon dalam filem seram thriller arahan G. Ashok, "Durgavati".

(Sumber: Mid-Day)
(Sumber foto: Filmy Today)

Cinema Online, 27 Okt 2020

Waktu Tayangan