Boy Iman hanya tahu diri diisytihar muflis menerusi media | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Boy Iman hanya tahu diri diisytihar muflis menerusi media

Penulis: Ashraf Nasser

Boy Iman berkata dia cuba untuk selesaikan masalah tuntutan tetapi tergendala akibat PKP.
Boy Iman berkata dia cuba untuk selesaikan masalah tuntutan tetapi tergendala akibat PKP.

3 Jul – Pelakon dan ahli perniagaan kontroversi, Dato' Boy Iman memberitahu dia tidak mengetahui dirinya diisytihar muflis dan hanya mengetahui perkara itu menerusi laporan media semalam.

Berikutan itu, Boy atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman akan memfailkan rayuan kepada mahkamah berhubung perkara itu untuk menyelesaikannya secara insolvensi.

"Saya memang terkejut apabila mengetahui keadaan diri yang sudah diinsytiharkan bankrap. Ini kerana saya tidak mahu menahu mengenainya.

"Itu yang saya jadi tergelak sebaik mendapat tahu mengenainya daripada laporan media. Malah, apabila merujuk pada peguam saya, dia pun tak tahu juga," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Pelakon dan penerbit "Blok 404" ini berkata dia sebenarnya dalam proses untuk menyelesaikan masalah tuntutan yang membabitkan ramai pihak tetapi tergendala berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun dia akur apabila diisytihar muflis dan akan menyelesaikan perkara itu terlebih dahulu bersama peguamnya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengisytiharkan Boy Iman muflis selepas gagal melunaskan tuntutan RM60,000 kepada individu pada pertengahan tahun lalu.

Boy pada tahun 2017 menerusi syarikat miliknya iaitu DBI Technology Sdn Bhd telah melancarkan program pembinaan rumah mampu milik dikenali sebagai DBI Homes telah menarik ramai pembeli yang ada di antara mereka telah membuat bayaran penuh.

Bagaimanapun, kesemua pembeli berang apabila rumah yang dijanjikan akan disiapkan dalam tempoh enam bulan tidak siap membuatkan mereka menuntut ganti rugi namun tidak diendahkan oleh Boy.

Susulan itu, Boy bersama beberapa individu terlibat telah direman di beberapa negeri selepas disyaki terlibat dalam penipuan jualan rumah yang membabitkan kerugian keseluruhan sehingga RM6.2 juta.

(Sumber foto: Rotikaya)

Cinema Online, 03 Jul 2020

Filem Berkaitan:
Blok 404 (Malay) (28 Jun 2018)
Aji Noh Motor (Malay) (20 Sep 2012)


Waktu Tayangan