"The Bridge" musim kedua tampil lebih padat dengan aksi | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"The Bridge" musim kedua tampil lebih padat dengan aksi

Penulis: Ashraf Nasser

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan "The Bridge" musim kedua yang menampilkan
jalan cerita yang lebih kompleks dan padat dengan aksi.

16 Jun – Selepas musim pertama mendapat sambutan luar biasa daripada penonton, platform penstriman video popular Viu dan HBO Asia kembali menghasilkan siri "The Bridge" dengan skala yang lebih besar.

Jika musim pertama siri ini menampilkan barisan pelakon daripada dua negara jiran iaitu Malaysia dan Singapura, namun untuk siri terbaru ini ia dibintangi oleh barisan pelakon terkenal dari empat buah negara iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia dan Filipina.

"Dengan siri musim kedua ini, kami sangat teruja apabila dapat menampilkan bakat-bakat terbaik Asia kepada penonton kami di kesemua 16 pasaran. Jalan cerita yang ditampilkan kali ini lebih kompleks selain ia padat dengan aksi.

"Lebih menarik lagi, musim kedua ini akan menampilkan beberapa muka baru yang mana penonton akan dibawa untuk mendalami setiap watak. Malah "The Bridge" musim kedua ini pasti akan membuatkan penonton lebih beremosi," ujar Ketua Produksi Viu Original Indonesia dan Malaysia iaitu Sahana Kamath.

Dalam pada itu, salah seorang pelakon utama dalam "The Bridge 2" iaitu Bront Palarae akan kembali menghidupkan semula watak asalnya sebagai pegawai polis bernama Megat Jamil.

Bagaimanapun menurut Bront, untuk siri terbaru ini penonton akan melihat sisi berbeza Megat yang pasti akan membuatkan penonton terkejut.

"Untuk siri kedua ini watak saya iaitu Megat sudah tidak lagi bekerja sebagai pegawai polis, tetapi apa yang saya boleh katakan ia mempunyai kaitan dengan kes terbaru yang sedang disiasat oleh pegawai ICD Serena Teo (Rebecca Lim)."

Selain Bront dan Rebecca, siri arahan TJ Lee, Jason Chong dan Zahir Omar ini turut dibintangi barisan pelakon hebat lain seperti Chew Kin Wah, Wan Hanafi Su, Fikry Ibrahim, Ario Bayu, Lukman Sardi, Amanda Manopo, Miller Khan, Joseph Marco, Adrian Pang dan ramai lagi.

"The Bridge" musim kedua yang sudah ditayangkan sejak 15 Jun boleh ditonton di platform Viu, HBO GO dan juga saluran TV HBO di seluruh Asia.

(Sumber foto: Viu)

Cinema Online, 16 Jun 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE
Waktu Tayangan