Bront Palarae bidas SENIMAN buat laporan polis | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Bront Palarae bidas SENIMAN buat laporan polis

Penulis: Ashraf Nasser

Bront Palarae harap kedua-dua pihak dapat selesaikan segala masalah dengan cara yang baik.
Bront Palarae harap kedua-dua pihak dapat selesaikan segala masalah dengan cara yang baik.

1 Apr – Pelakon Bront Palarae tampil membidas Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) apabila mengeluarkan kenyataan mereka telah membuat satu laporan polis terhadap seorang pelakon wanita kerana mendakwa video yang dimuat naik oleh aktres itu menjadi punca perbalahan antara artis dan netizen.

Menurut Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, isu itu sepatutnya tidak perlu diperbesarkan kepada pihak luar.

"Don't wash dirty linens in public. Masalah dalaman industri harus ditangani secara dalaman. Mohon jangan semakkan lagi hidup polis yang tengah berdepan benda yang lebih penting sekarang ini," ujarnya di laman Twitter miliknya.

Tambah pelakon "Gundala" ini lagi, laman sosial bukanlah medium yang sesuai untuk berkongsi perihal dalaman industri kerana ia akan mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Isu ini menjadi semakin hangat sejak seminggu yang lalu apabila segelintir artis meminta pihak kerajaan untuk memberi bantuan khas kepada penggiat seni berikutan mereka terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Kenyataan segelintir artis itu nyata telah mengundang kemarahan netizen termasuklah seorang pelakon wanita iaitu Zarina Anjoulie yang mengecam tindakan mereka yang tiba-tiba prihatin dengan nasib penggiat seni veteran dan tenaga kerja di belakang tabir yang mana sebelum ini mereka tidak pernah perjuangkan nasib dan bantu golongan itu.

Apa kesudahan terhadap isu ini? Sama-sama kita tunggu dan lihat. Apa-apa pun diharap kedua-dua pihak ini dapat menyelesaikan masalah di antara mereka secara baik tanpa membabitkan pihak berkuasa.

Seperti Bront katakan, jangan tambah kerja polis dengan perkara-perkara remeh seperti ini.

(Sumber foto: Bront Palarae Instagram)

Cinema Online, 01 Apr 2020

Filem Berkaitan:
Gundala (Indonesian) (26 Dec 2019)
Ombak Rindu (Malay) (01 Dec 2011)
One Two Jaga (Malay) (06 Sep 2018)
Fly By Night (Malay / Mandarin) (11 Apr 2019)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan