Buletin
Bront Palarae tak fikir panjang terima tawaran "Bakara"


Tarikh disiarkan: 23 Januari 2020

Bront Palarae teruja dapat terlibat dalam sebuah naskhah yang memaparkan kehebatan 'hero' negara dalam "Bakara".
Bront Palarae teruja dapat terlibat dalam sebuah naskhah yang memaparkan
kehebatan 'hero' negara dalam "Bakara".

23 Jan – Pelakon Bront Palarae memberitahu dia tidak mengambil masa lama untuk bersetuju membintangi filem "Bakara" selepas ditawarkan oleh pengarah tersohor tanah air iaitu Adrian Teh.

Menurut Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin berkata, pengarah itu bertemu dengannya untuk berbincang mengenai filem terbaru itu selepas filem "Paskal The Movie" ditayangkan di pawagam.


"Sebenarnya projek ini sudah lama Adrian simpan dan dia datang berjumpa dengan saya selepas tayangan filem "Paskal The Movie" di pawagam selesai. Saya sangat tertarik ditambah dengan kejayaan besar yang diperolehnya menerusi filem "Paskal".

"Saya juga ada bertanya kepada Adrian siapa lagi yang akan membintangi filem "Bakara", dan apabila dia memberitahu dia sudah berjaya mendapatkan beberapa nama besar, saya terus bersetuju," ujarnya yang ditemui pada majlis perlancaran "Bakara" yang berlangsung di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.


Pengarah Adrian Teh bersama pelakon utama "Bakara", Fauzi Nawawi, Bront Palarae,
Remy Ishak dan Hairul Azreen.

Bercerita lanjut mengenai wataknya dalam filem itu, Bront akan membawa watak sebenar seorang pegawai tentera berpangkat Mejar.

"Ini kali pertama saya akan menjayakan watak sebenar dan ia akan menjadi lebih mencabar apabila watak itu masih lagi hidup, jadi saya perlu pastikan saya dapat menterjermahkan watak itu dengan baik di skrin nanti."

Dalam pada itu, Bront berkata sebelum penggambaran bermula pada bulan Jun depan, kesemua pelakon utama akan menjalani latihan ketenteraan sekurang-kurangnya dua bulan bagi memastikan mereka berada dalam tahap terbaik sebelum masuk ke set.

Mereka bukan sahaja akan menjalani latihan fizikal, tetapi juga akan turut jalani latihan mengendalikan senjata dan protokol sebagai seorang anggota tentera.

"Bakara" adalah sebuah naskhah yang diangkat dari kisah sebenar mengenai pasukan tentera Malaysia iaitu Batalion Malaysia (MALBATT) yang terlibat dalam satu misi menyelamatkan tentera elit Amerika Syarikat yang terperangkap di Pasar Bakara selepas cubaan untuk menangkap ketua militia Mohamed Farrah Aidid gagal.

Filem "Black Hawk Down" versi Malaysia ini akan diterbitkan oleh Act 2 Pictures dan Adaza88 Studio ini mendapat sokongan penuh daripada Tentera Darat Malaysia (TDM) yang mana ia akan menjadi salah sebuah filem tempatan menelan kos besar iaitu RM20 juta.

Selain Bront, "Bakara" turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Remy Ishak, Hairul Azreen, Fauzi Nawawi, Shaheizy Sam dan ramai lagi.

"Bakara" akan menemui penonton di seluruh negara pada 31 Ogos 2021.

(Sumber foto: Kaki Muvee)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Bakara (Melayu) (31 Ogos 2021)



Ticket Pricing Guide