Buletin
Tayangan filem Amitabh Bachchan "Chehre" ditunda hingga Julai


Tarikh disiarkan: 22 Januari 2020

Buat masa ini penggambaran filem
Buat masa ini penggambaran filem "Chehre" masih dijalankan bersama pelakon utama.

22 Jan – Sedikit kekecewaan buat para peminat yang menantikan gandingan bintang veteran Amitabh Bachchan dan aktor Emraan Hashmi di layar perak apabila tayangan filem "Chehre" ditunda sehingga 17 Julai.

Seperti yang dilaporkan oleh Times of India, perkara itu diputuskan untuk memberi ruang kepada tayangan filem "Gulabo Sitabo" yang turut dibintangi Bachchan seperti yang diminta oleh para pembikin filem tersebut.

"Ya, kami telah mengubah tarikh tayangan "Chehre" ke 17 Julai, atas permintaan istimewa daripada pembikin filem "Gulabo Sitabo" iaitu pengarah Shoojit Sircar dan penerbitnya Ronnie Lahiri.

"Kami mempunyai hubungan baik dengan Shoojit dan Ronnie, dan memandangkan ia memberi manfaat bukan sahaja kepada dua-dua belah pihak malah para peminat Bachchan, jadi kami bersetuju untuk meriliskan "Chehre" pada 17 Julai!" jelas penerbit Anand Pandit.


Sementara itu, penerbit "Gulabo Sitabo" Ronnie Lahiri mengesahkan kenyataan itu dan memberitahu filem mereka telah siap sepenuhnya untuk ditayangkan pada April. Sebelumnya, filem "Chehre" dijadual untuk ditayangkan pada 24 April.

Selain Bachchan dan Emraan, filem "Chehre" turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Rhea Chakraborty, Siddhanth Kapoor, Drithiman Chakroborthy, Krystle Dsouza, Raghubir Yadav dan Annu Kapoor.

Bagi "Gulabo Sitabo" pula, filem berkonsepkan komedi kekeluargaan itu menggabungkan Bachchan bersama Ayushmann Khurrana, Nalneesh Neel dan Tina Bhatia.

(Sumber foto: Clout News)
(Sumber artikel: Times of India)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide