CineDrive alternatif terbaik untuk tonton filem di layar lebar | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

CineDrive alternatif terbaik untuk tonton filem di layar lebar

Penulis: Ashraf Nasser

Ketua Pegawai Eksekutif Deromp Marketing, William Lim bersama Timbalan Menteri KKMM, Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika pelancaran CineDrive Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Deromp Marketing, William Lim bersama Timbalan Menteri KKMM,
Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika pelancaran CineDrive Malaysia.

21 Sep – Sejak kebelakangan ini trend beberapa pawagam pandu masuk mula diperkenalkan kepada masyarakat Malaysia dan terbaru ialah CineDrive yang terletak di Bandar Utama.

Baru sahaja mula beroperasi pada 19 September lalu, CineDrive yang bertempat di ruangan tempat letak kereta bersebelah pusat beli-beli popular One Utama ini merupakan pawagam pandu masuk terbesar di Malaysia ketika ini.

Ia mempunyai skrin LED bersaiz 42 kaki tinggi dan 52 kaki lebar, dan demi memberikan pengalaman istimewa ketika menonton filem di dalam kenderaan sendiri, pihak operator menempatkan skrin LED lebih tinggi dari satu tingkat.


Pengarah Urusan Cinema Online, Marcel Lariche menerima plat penghargaan daripada
pihak CineDrive yang disampaikan oleh Timbalan Menteri KKMM, Datuk Zahidi.

CineDrive telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) iaitu Datuk Zahidi Zainul Abidin yang mana beliau berkata pihak kementeriannya amat mengalu-alukan konsep pawagam pandu.

"KKMM sangat mengalu-alaukan konsep pawagam pandu masuk diperkenalkan terutamanya ketika negara kita berdepan dengan pandemik COVID-19, kerana ia boleh dijadikan sebagai satu platform alternatif untuk menonton filem di layar besar sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Konsep ini dapat memberi peluang dan pengalaman yang baru kepada penonton untuk menonton filem hanya dari kenderaan masing-masing," katanya ketika berucap pada majlis perasmian CineDrive di Bandar Utama baru-baru ini.


Senarai dan waktu tayangan filem yang akan ditayangkan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Deromp Marketing iaitu William Lim berkata CineDrive akan beroperasi selama sembilan hari, iaitu 19-27 September ini.

"Sepanjang tempoh itu kami akan menayangkan sebanyak 22 buah filem, jadi anda boleh semak senarai filem yang akan ditayangkan di laman sesawang rasmi CineDrive."

Antara filem yang akan ditayangkan adalah "Paskal The Movie", "Ford V Ferrari", "300", "Spider-Man: Into The Spiderverse", "Mad Max: Fury Road" dan banyak lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai filem dan waktu tayangan boleh layari www.cinema.com.my/drivein.

Cinema Online, 21 Sept 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.
Waktu Tayangan