Pawagam di Malaysia lanjutkan penutupan sehingga hujung April | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Pawagam di Malaysia lanjutkan penutupan sehingga hujung April

Penulis: Florey DM


Pawagam-pawagam di Malaysia terpaksa ditutup sementara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan sejak bulan lalu.
6 Apr - Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) telah mengeluarkan kenyataan bahawa pawagam-pawagam di Malaysia akan terus menutup panggung sehingga hujung bulan ini.

Keputusan itu dibuat susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan sehingga 14 April 2020.

"Ini bukanlah tempoh yang senang buat pempamer filem, tetapi ia adalah momen untuk kita semua bersatu lebih dari sebelum ini.

"Malaysia ketika ini berada dalam keadaan sukar dengan penularan COVID-19 dan ia memerlukan usaha kita semua untuk mengawal penularan wabak itu. Walaupun kami ingin membuka pawagam secepat mungkin sekiranya dibenarkan, tetapi kami percaya negara perlu diberi keutamaan termasuk juga kesihatan pelanggan dan pekerja kami," ujar MAFE.

Ahli-ahli MAFE telah mengesahkan penyertaan mereka untuk melanjutkan tempoh penutupan adalah Golden Screen Cinemas Sdn Bhd, Berjaya-GSC Sdn Bhd, TGV Cinemas Sdn Bhd, MM2 Screen Management Sdn Bhd (mmCineplexes) dan Lotus Five Star Cinemas (M) Sdn Bhd.

Sementara itu, MBO Cinemas pula masih belum mengesahkan lanjut penutupan pawagam dan apabila dihubungi oleh Cinema Online, Ketua Pegawai Operasi MBO iaitu Cheah Chun Wai berkata, "Ia terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan ketika ini, MBO Cinemas akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa dan akan patuh dengan arahan kerajaan. Sebagai penyewa di pusat beli-belah, kami juga perlu patuh dengan perjanjian kontrak, jadi kami akan tunggu pengumuman terkini."

Antara pempamer lain yang turut serta melanjutkan penutupan pawagam mereka adalah Amerin, CineHouse, Mega Cineplex dan Megalong.

Manakala Paragon, Emperor, Bona Cinemas dan banyak lagi masih belum mengesahkan penyertaan mereka. Ketika artikel ini sedang di tulis, mereka masih belum memberikan sebarang komen.

Terdahulu, seluruh pawagam di negara ditutup buat sementara waktu bermula 18 Mac apabila kerajaan mengeluarkan PKP, yang mana tidak membenarkan orang ramai berkumpul, seperti di pawagam, dan meminta rakyat untuk tinggal di rumah sepanjang masa kecuali mendapatkan keperluan asas atau kesihatan.

Pempamer di beberapa negara luar seperti Thailand, Indonesia, Kemboja, Filipina, Vietnam, Myanmar dan Singapura juga kini ditutup buat sementara waktu bagi membendung orang ramai dari berkumpul dengan keselamatan pelanggan dan rakyat.

Cinema Online, 06 Apr 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE
Waktu Tayangan