Daiyan Trisha dituduh ambil kesempatan terhadap pengguna media sosial | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Daiyan Trisha dituduh ambil kesempatan terhadap pengguna media sosial

Penulis: Nisa Irina

Daiyan Trisha bengang dengan tuduhan melulu segilintir warganet terhadapnya.
Daiyan Trisha bengang dengan tuduhan melulu segilintir warganet terhadapnya.

7 Jul – Penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha menerima kecaman oleh segelintir warganet apabila dia meminta para peminat untuk menyunting poster lagu terbarunya mengikut konsep filem Korea Selatan "Parasite".

Salah seorang pengguna Twitter, yang juga seorang pereka grafik, mendakwa Daiyan sengaja mengambil kesempatan terhadap orang ramai tanpa perlu mengupah pereka grafik untuk menyunting posternya.

Susulan itu, Daiyan tampil membidas kenyataan yang dibuat oleh pengguna tersebut dengan berkongsikan hasil karya poster sebenar untuk lagu berjudul "On My Way" tersebut.

"Saya sudah mempunyai rekaan sendiri, ini adalah HASIL KERJA yang telah DIBAYAR, untuk lagu saya. Saya SENTIASA membayar pekerja-pekerja kreatif saya, ini adalah tuduhan yang berat.

"Saya hanya ingin BERINTERAKSI dengan para pengikut saya. Tolonglah, kadang-kadang kamu semua ini melampau.

"Saya juga seorang penggiat seni dan sentiasa menyokong penggiat seni tempatan. Saya mengagumi mereka. Saya beli hasil kerja, produk, kraftangan mereka dan berkongsikannya di platform digital saya," tegasnya di laman Twitter.

Dalam pada itu, Daiyan turut memberi penghargaan kepada para peminat yang menggunakan daya kreativiti masing-masing untuk menyunting poster lagu tersebut dan berkongsikannya menerusi Twitter dan Instagram.

Beralih ke perkembangan lain, Daiyan bakal kembali ke layar perak menerusi sebuah filem seram tentang adat pengebumian kaum Melanau di Sarawak berjudul "Sumpahan Jerunei" yang diarahkan oleh Jason Chong.

Selain Daiyan, filem itu turut menampilkan pelakon terkenal seperti Ruminah Sidek, Uqasha Senrose, Bront Palarae, Amerul Affendi, Tony Eusoff, Syafie Naswip dan Yuyun Hikmah.

(Sumber foto: Daiyan Trisha Twitter)

Cinema Online, 07 Jul 2020

Waktu Tayangan