"Ejen Ali The Movie" ke festival filem Itali & Vietnam | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"Ejen Ali The Movie" ke festival filem Itali & Vietnam

Penulis: Ashraf Nasser

Walaupun sudah setahun filem itu ditayangkan, namun ia masih lagi menjadi sebutan ramai.
Walaupun sudah setahun filem itu ditayangkan, namun ia masih lagi menjadi sebutan ramai.

16 Jul – Selepas berjaya mencipta kejayaan besar apabila meraih kutipan lebih RM30 juta, filem animasi tempatan iaitu "Ejen Ali The Movie" kini terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa pula apabila bakal sertai dua festival filem iaitu Cartoons On The Bay, Itali dan ASEAN Film Week 2020 di Vietnam.

Filem terbitan Wau Animation ini telah terpilih dalam 16 filem yang akan bersaing untuk kategori Anugerah Filem Animasi Terbaik pada edisi ke-24 Cartoons on the Bay – Pulcinella Awards yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Disember depan di Pescara, Itali.

Selain itu, filem animasi ini juga bakal mendapat pengiktirafan di peringkat Asia Tenggara apabila diberi penghormatan untuk mewakili Malaysia ke ASEAN Film Week 2020 yang akan berlangsung di tiga buah bandar-bandar Vietnam iaitu di Hanoi, Da Nang dan Bandar Ho Chi Minh.

"Penyertaan filem animasi kami di festival antarabangsa ini merupakan sebuah berita yang sangat mengujakan. Ia menjadi pendorong untuk kami terus berkarya dan mencipta animasi yang lebih baik dan bermutu, lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia yang sedang pulih dari pandemik COVID-19.

"Kami sangat berbesar hati diiktiraf dan diberi peluang mewakili Malaysia dan sangat teruja untuk melihat reaksi penonton di Itali dan juga Vietnam," ujar Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation iaitu Usamah Zaid Yasin dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios iaitu Datuk Ahmad Izham Omar berkata ia merupakan satu penghormatan besar buat Malaysia apabila melihat animasi "Ejen Ali The Movie" berjaya dapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Cinema Online, 16 Jul 2020

Filem Berkaitan:
Ejen Ali: The Movie (Malay) (28 Nov 2019)



Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, Click Here
Waktu Tayangan