Buletin
Farid Kamil pilih Niezam Zaidi untuk watak Spark


Tarikh disiarkan: 6 Februari 2020


Farid Kamil bersyukur Niezam Zaidi turut serta dalam filem "Remp-It 2".

6 Feb – Pengarah dan pelakon Datuk Farid Kamil memilih pelakon Niezam Zaidi untuk menggalas watak Spark yang sebelumnya digalas oleh pengarah dan pelakon Zul Huzaimy menerusi filem "Remp-It 2".

"Dalam masa 13 tahun macam-macam perubahan boleh berlaku, jadi saya mengambil inisiatif itu untuk mengubah watak Spark dan menghasilkan filem ini sebaik mungkin.

"Niezam Zaidi adalah seorang pelakon yang boleh menunggang motosikal dengan bagus. Dia juga telah menyertai beberapa perlumbaan Cub Prix Malaysia sebelum ini tetapi pada ketika itu saya tidak berkesempatan untuk mengenalinya sebagai seorang pelakon.


"Walau bagaimanapun, saya yakin dia bakal memberi nafas baru kepada filem "Remp-It 2" dan saya sangat bersyukur atas perkara itu," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran filem "Remp-It 2" dan Sifu International Enduro Championship 2020.

Dalam pada itu, Farid turut meluahkan sedikit rasa kekecewaan kerana tidak dapat menyertakan pelakon Nabila Huda dalam filem tersebut. Menurutnya, Nabila terikat dengan komitmen lain dan berdepan isu pelanggaran tarikh.

Sehubungan dengan itu, Farid menggantikan tempat Nabila dengan wartawan dan pakar aksi lagak ngeri wanita Ahirine Ahirudin, dikenali sebagai seorang gadis lasak yang mahir menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Sesi penggambaran filem "Remp-It 2" telah selesai dijalankan selama 53 hari pada Ogos 2019 dan kini sedang dalam proses pos produksi, yang mana ia telah pun dihantar ke Lembaga Penapis Filem (LPF).

Dibintangi oleh Farid bersama pelakon-pelakon asal seperti Cat Farish dan Julia Hana, filem "Remp-It 2" dijangka bakal tayang pada bulan Ogos tahun ini.

Bercakap mengenai Sifu Enduro, Farid berkata idea penganjuran sukan perlumbaan permotoran itu lahir semasa menghasilkan filem "Remp-It 2", dengan harapan untuk mengangkat taraf sukan itu ke peringkat lebih tinggi.

Bagi menyuntik keterujaan, pihak penganjur juga telah menerbangkan sendiri pelumba motosikal lasak dari Australia, Tim Coleman, bagi memberi cabaran kepada para peserta.

Kejuaraan yang dianjurkan oleh Persatuan 2 Roda Malaysia (P2RM) dengan kerjasama FKX Film itu bakal berlangsung pada 28, 29 Februari dan 1 Mac 2020 di Ukay Perdana, Kuala Lumpur.

Penulis: Nisa Irina

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE

Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide