Buletin
Fendy Bakry buat debut sebagai peneraju utama filem "Seandainya Kau Ada"


Tarikh disiarkan: 13 Januari 2020


Fendy Bakry nafi terima tawaran filem atas dasar ganjaran wang.

13 Jan – Satu berita baik buat para peminat pelakon Fendy Bakry apabila buat kali pertama wajahnya akan menghiasi layar perak sebagai peneraju utama menerusi filem cinta Islamik "Seandainya Kau Ada".

Bercakap mengenai penglibatannya dalam filem yang diadaptasi dari novel nukilan Kamsiah Abu itu, Fendy mendedahkan sebelumnya dia pernah menerima tawaran untuk menerajui filem tetapi masa tidak mengizinkan.

"Sebelum ini, bukan tiada produksi merisik saya berlakon filem. Cuma tawaran yang datang tidak kena masa. Pelawaan penerbit filem "Seandainya Kau Ada" datang tepat pada masanya.


"Selain plot cerita, faktor misi yang sama iaitu masing-masing kali pertama berkarya untuk layar perak, mendorong saya menyahut cabaran dan bersetuju menyertai kru filem ini.

"Saya lihat garapan cerita dipaparkan cukup berat kerana saya berlakon sebagai penghidap HIV. Ini cabaran baharu untuk saya teroka dan mencabar kemampuan diri," katanya yang dipetik dari BH Online.

Pemilik nama asal Mohd Affandi Nor Bakri itu turut memberitahu dia menerima tawaran berkenaan bukanlah atas dasar ganjaran wang, sebaliknya kerana tertarik dengan jalan penceritaan karya tersebut.

Filem "Seandainya Kau Ada" arahan Chad itu turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Raysha Rizrose, Ruhainies, Aidit Noh, Fendi London, Lydiawati dan Fauziah Nawi.

Buat pengetahuan lanjut, Fendy pernah menggalas watak kecil menerusi filem arahan Mamat Khalid, "Amir dan Loqman Pergi ke Laut" serta "Langit Cinta" yang menampilkan Nur Fazura dan Keith Foo sebagai pelakon utama.

(Sumber foto: Fendy Bakry Twitter)

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide