Buletin
FFM Ke-31 perkenalkan semula empat kategori untuk dipertandingkan


Tarikh disiarkan: 16 Januari 2020

Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac bersama barisan orang kuat FINAS hadir ke sidang media FFM31.
Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac bersama barisan orang kuat
FINAS hadir ke sidang media FFM31.

16 Jan – Penganjuran Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) kali ini akan menyaksikan empat kategori akan diperkenalkan semula untuk direbut oleh 67 buah filem tempatan yang bertanding pada tahun ini.

Kategori tersebut adalah Dokumentari Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Filem Cereka Animasi Terbaik dan Filem Digital Terbaik.

Perkara itu diumumkan oleh Jawatankuasa Penyertaan dan Penjurian FFM31, Rozita Waty Ridzuan ketika ditemui pada majlis sidang media FFM31 yang berlangsung di Pawagam Mini P. Ramlee, Finas, hari ini.

"Penganjuran tahun ini mempertandingkan 32 kategori antaranya Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan buat pertama kali mewujudkan kategori Tatarias Terbaik," dedahnya lagi.

Pada tahun 2019, industri perfileman tanah air telah diwarnai dengan tiga buah filem animasi iaitu "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal", "BoBoiBoy Movie2" dan "Ejen Ali The Movie" yang akan dipertandingkan dalam kategori Filem Cereka Animasi Terbaik bersama filem "Wheely" 2018.


Selain filem animasi, antara filem-filem besar sepanjang 2019 yang layak dipertandingkan ialah "Sangkar", "Pusaka", "Ennaval", "Kali Muni Tharisanam", "Walk With Me" dan banyak lagi.

Selain itu, terdapat juga kategori anugerah khas yang tidak dipertandingkan iaitu Anugerah Penggiat Belakang Tabir, Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman, Anugerah Khas Juri dan Anugerah Filem Box-Office.

Turut hadir pada majlis sidang media FFM31 adalah Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Mengangkat tema 'Inspirasi Sinemaku: Tanpa Sempadan' sebagai simbolik buat penggiat filem tempatan, malam kemuncak FFM31 akan berlangsung di Encore Melaka pada 18 April 2020.

Penulis: Nisa Irina

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE.




Ticket Pricing Guide