Filem Aamir Khan "Laal Singh Chaddha" ditunda ke 2021? | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Filem Aamir Khan "Laal Singh Chaddha" ditunda ke 2021?

Penulis: Nisa Irina

Nampaknya para peminat perlu menanti lebih lama lagi untuk melihat filem baru Aamir Khan.
Nampaknya para peminat perlu menanti lebih lama lagi untuk melihat filem baru Aamir Khan.

22 Mei – Tarikh tayangan filem baru terbitan dan lakonan bintang terkenal Aamir Khan "Laal Singh Chaddha" berkemungkinan akan ditangguhkan ke suatu tarikh yang baru tahun hadapan.

Ia susulan situasi pandemik COVID-19 yang dilihat semakin membimbangkan, serta lanjutan Perintah Berkurung di India sehingga menjejaskan industri perfileman.

Pada asalnya, produksi Aamir bersama seorang lagi penerbit, Kiran Rao, iaitu Aamir Khan Productions dan Viacom18 Motion Pictures menetapkan 25 Disember 2020, bersamaan Hari Natal, sebagai tarikh rilisnya.

"Saya berpendapat filem "Laal Singh Chaddha akan dirilis pada tahun hadapan. Sepatutnya kami ingin meriliskannya pada Disember ini," ujar penulis skrip Atul Kulkarni yang dipetik dari Pinkvilla.

Seperti yang didedahkan lagi, produksi Aamir masih menantikan waktu yang sesuai untuk menyambung penggambaran yang sepatutnya dijalankan di Punjab, disusuli dengan proses pos-produksi.

Walau bagaimanapun, buat masa ini Aamir mahupun pihak produksi masih belum membuat pengumuman rasmi untuk menyatakan tarikh baru filem tersebut.

Filem yang diadaptasi ke versi Hindi daripada filem klasik Amerika "Forrest Gump" (1994) yang diterajui Tom Hanks ini menyaksikan gandingan Aamir bersama aktres Kareena Kapoor Khan.

(Sumber: Pinkvilla)
(Sumber foto: Pinterest & IMDB)

Cinema Online, 22 Mei 2020

Waktu Tayangan