Filem drama sosial Alia Bhatt kini dalam pembikinan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Filem drama sosial Alia Bhatt kini dalam pembikinan

Penulis: Nisa Irina

Alia Bhatt kembali bekerjasama dengan Sajid Nadiadwala untuk kali keempat.
Alia Bhatt kembali bekerjasama dengan Sajid Nadiadwala untuk kali keempat.

26 Feb – Berita baik buat para peminat Alia Bhatt, aktres itu dilaporkan bakal membintangi sebuah filem bertemakan drama sosial terbitan pembikin filem Sajid Nadiadwala.

Projek filem yang masih belum diberi judul ini menandakan kerjasama Alia dan Sajid buat kali keempat selepas "Highway" (2014), "2 States" (2014) dan "Kalank" (2019).

Seperti yang diumumkan pada dua tahun lalu, pengarah filem "Hindi Medium" Saket Chaudhary mengesahkan bahawa filem itu akan dihasilkan tanpa mendedahkan sebarang butiran lanjut.

"Saket (pengarah) sedang menghasilkan skrip buat masa ini. Dia teruja apabila Alia menyukai skrip filem ini dan bersetuju untuk membintanginya. Dia dijangka akan menandatangani kontrak projek ini tidak lama lagi.

"Dalam pada itu, pihak produksi sedang mencari pelakon lelaki yang sesuai untuk watak utama. Mereka akan menetapkan jadual penggambaran sejurus sahaja semua pelakon telah dipilih.

"Saket juga telah mula membuat peninjauan untuk mencari lokasi penggambaran yang sesuai," dedah satu sumber menerusi Mumbai Mirror.

Beralih ke perkembangan lain, Alia kini sibuk dengan sesi penggambaran beberapa buah filem terbaru seperti "Sadak 2", "Gangubai Kathiawadi" dan "Brahmastra" yang bakal ditayangkan tahun ini.

Selain itu, dia juga akan tampil dalam filem aksi Telugu arahan S. S. Rajamouli berjudul "RRR", yang dibintangi N. T. Rama Rao Jr. dan Ram Charan sebagai watak utama. Ia dijangka akan ditayangkan pada 8 Januari 2021.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Alia Bhatt Instagram)

Cinema Online, 27 Feb 2020

Waktu Tayangan