Filem animasi Bahasa Kadazan pertama kini boleh ditonton dalam talian | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Filem animasi Bahasa Kadazan pertama kini boleh ditonton dalam talian

Penulis: Florey DM

"Legend of Ancient Borneo" adalah berdasarkan kisah dongeng masyarakat Sabah.
"Legend of Ancient Borneo" adalah berdasarkan kisah dongeng masyarakat Sabah.

21 May – Filem animasi pendek Bahasa Kadazan yang pertama kini boleh ditonton secara dalam talian!

Biarpun sebelum ini Sabah pernah menerbitkan beberapa filem tempatan, tetapi "Legend of Ancient Borneo" adalah filem pertama yang menggunakan Bahasa Kadazan sepenuhnya, iaitu bahasa yang dituturkan oleh suku kaum Kadazan.

Filem pendek itu membuat tayangan perdananya secara dalam talian pada awal minggu ini menerusi laman Facebook rasminya serta saluran YouTube. Ia telah meraih sebanyak 16,000 tontonan sejak ia dimuat naik di laman Facebook pada 18 Mei.

Diterbitkan oleh All-For-One Productions, yang kebanyakannya terdiri daripada pakar animasi tempatan, filem berdurasi lebih kurang lapan minit itu adalah berdasarkan komik fantasi oleh Aks Kwan dan Robertson Sondoh Jr. Boni Mosios, yang membintangi "Huminodun", menyumbangkan suaranya sebagai pencerita filem.

Berlatarbelakangkan sebuah kampung di Borneo purba, filem itu mengisahkan empat pewira yang memburu sekumpulan haiwan reptilia buas yang merosakkan kampung mereka dan mencuri tengkorak naga suci milik kampung itu. Walau bagaimanapun, mereka kemudiannya mendapat tahu kebenaran di sebalik kemakmuran kampung dan kisah tengkorak naga itu.

Seperti yang dinyatakan pada laman Festival Filem dan Keamanan Antarabangsa (IPFF), pengarah Geoffrey Sinn Chun Hou memberitahu bahawa filem itu "mungkin dilihat seperti sebuah kisah fantasi pewira berkuasa menentang makhluk mistik. Tetapi apa yang tersirat, adalah sifat manusia yang pentingkan diri dan tidak peduli akan kemusnahan yang kita telah lakukan kepada dunia atas kepentingan kita sendiri."

Geoffrey kini sedang berusaha untuk memperkembangkan filem pendek itu ke sebuah siri animasi televisyen.


Baru-baru ini Aks Kwan berkongsi beberapa lukisan "Legend of Ancient Borneo"
di laman Facebook miliknya.

Walaupun animasi itu tidak secanggih filem-filem antarabangsa, namun filem pendek itu telah menerima pujian tinggi atas usahanya dalam mempromosikan budaya dan warisan Borneo.

Para pengkritik juga memuji kegunaan Bahasa Kadazan dalam filem, menyatakan ia adalah cara yang bagus untuk memeliharanya dan boleh digunakan untuk menggalakkan generasi muda untuk mempelajari dan menggunakan bahasa yang semakin kurang dituturkan oleh anak-anak muda kerana arus pemodenan.

Terdahulu, filem pendek itu telah dipilih sebagai Pilihan Rasmi IPFF tahun ini dan bertanding dengan 91 buah filem lain di festival filem yang diadakan bermula 30 Januari hingga 2 Februari di Orlando, Florida.

Ia juga merupakan salah satu pemenang Intellectual Property Creators' Challenge (IPCC) pada 2018, yang kini dikenali sebagai Digital Content Creators Challenge (DC3), yang dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia.

Jika anda masih belum menonton filem ini, sila klik butang main di bawah untuk menonton "Legend of Ancient Borneo"! (Jangan risau, sari kata Bahasa Inggeris disediakan).

Cinema Online, 21 Mei 2020

Waktu Tayangan