Filem "Geran" menang anugerah di New York | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Filem "Geran" menang anugerah di New York

Penulis: Ashraf Nasser

Tahniah diucapkan kepada
Tahniah diucapkan kepada "Geran" yang berjaya dapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

18 Ogos – Walaupun filem aksi persilatan gagal dapat kutipan memberangsangkan di negara sendiri, namun filem terbitan Layar Pictures dan Tree of Hopes Productions ini telah berjaya mengharumkan nama negara apabila merangkul anugerah di Festival Filem Asia New York (NYAFF) Ke-19.

"Geran" menerima Anugerah Daniel A. Craft atas kecemerlangannya dalam filem aksi sekaligus meletakkan pengarahnya iaitu Areel Abu Bakar setaraf dengan barisan pengarah tersohor lain seperti Dante Lam ("Operation Red Sea"), Yue Song ("The Bodyguard") dan Jung Byung-gil ("The Villainess") yang pernah memenangi anugerah sama.

"Kami tidak pernah menyangka untuk menerima penghargaan sebesar ini daripada pihak luar.

"Ini anugerah pertama diterima filem "Geran", ini juga filem pertama saya," ujarnya yang dipetik dari Bernama.

Tambahnya lagi, kejayaan meraih anugerah ini sekaligus dapat mengangkat seni silat dan budaya masyarakat Malaysia ke layar perak di mata dunia.

Filem yang mengangkat seni persilatan Gayong Pusaka ini berkisarkan mengenai sebuah keluarga pesilat yang cuba mempertahankan maruah dan tanah rumah mereka daripada tergadai selepas adik mereka menghilangkan diri dan menggadai geran tanah itu kepada lintah darat.

Ia dibintangi pelakon hebat seperti Namron, Khoharullah Majid, Feina Tajuddin, Fad Anuar, Azlan Komeng dan Megat Shahrizal.

Filem yang mula ditayangkan pada 10 Oktober 2019 mendapat pujian daripada peminat filem yang menontonnya, namun ia gagal mendapat sambutan di kalangan besar pengunjung pawagam.

Cinema Online, 18 Ogos 2020

Filem Berkaitan:
Geran (Melayu) (10 Okt 2019)



Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE.

Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan