Filem indie "Kickflip" tayang di platform penstriman MUBI Disember ini! | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Filem indie "Kickflip" tayang di platform penstriman MUBI Disember ini!

Penulis: Nisa Irina

"Kickflip" papar kisah lelaki yang kembali mencintai dunia 'skateboarding'.
"Kickflip" papar kisah lelaki yang kembali mencintai dunia 'skateboarding'.

28 Nov – Setelah empat tahun sejak tayangan filem aksi tarian "Showdown The Movie", kini pengarah Khairil M. Bahar tampil dengan karya terbarunya iaitu sebuah filem indie berjudul "Kickflip".

Seperti yang dikongsikan oleh Khairil di Instagram dan Twitter miliknya, filem itu akan ditayangkan secara eksklusif menerusi portal penstriman video popular MUBI bermula 3 Disember ini.

"Secara rasminya, kami mempunyai platform untuk berkongsi segala usaha keras kami bersama anda, dan ia adalah di MUBI Malaysia. Buat masa ini, ia hanya ditayangkan secara eksklusif di Malaysia dan kami berharap ia dapat distrim di persada antarabangsa.

"Saya ingin berterima kasih kepada semua yang menjayakan filem ini, bermula dari para pelakon hinggalah semua kru produksi dan penerbit, serta isteri saya yang sentiasa menyokong saya. Saya bersyukur kerana mampu terlibat dalam perjalanan ini bersama kamu semua.


"Dan terakhir, saya ingin berterima kasih kepada MUBI kerana memberi peluang untuk filem kecil saya diangkat bersama karya-karya besar lain yang terdapat di platform anda," katanya.

Dibintangi oleh Khairil sebagai watak utama, "Kickflip" mengisahkan ketabahan seorang warga Kuala Lumpur bernama Jo dalam menempuh liku-liku kehidupan, dan bagaimana dia kembali mencintai 'skateboard' (papan luncur).

Terdahulu, "Kickflip" telah membuat tayangan perdananya di Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIFF) yang berlangsung secara dalam talian dari 5 hingga 13 September lalu.

(Sumber foto: Khairil M. Bahar Twitter)

Cinema Online, 28 Nov 2020

Filem Berkaitan:
Showdown The Movie (Melayu) (07 Apr 2016)
Cuak (14 Feb 2014)
Relationship Status (05 Jan 2012)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan