Filem tentang Sushant Singh Rajput bakal direalisasikan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Filem tentang Sushant Singh Rajput bakal direalisasikan

Penulis: Nisa Irina

Poster filem
Poster filem "Suicide or Murder?" yang dihasilkan oleh produksi Vijay Shekhar Gupta.

24 Jun – Pemergian aktor yang meningkat naik Sushant Singh Rajput pada 14 Jun lalu mengejutkan seluruh industri perfileman Bollywood dan kes kematiannya telah menimbulkan pelbagai tanda tanya memandangkan ia berkait rapat dengan industri itu sendiri.

Sehubungan dengan itu, pembikin filem Vijay Shekhar Gupta mengumumkan bahawa dia bakal menghasilkan sebuah filem berjudul "Suicide or Murder?" di bawah syarikat produksinya VSG Binge.

Tambahan lagi, Vijay turut menampilkan sebuah poster dan poster bergerak filem itu yang dimuat naik menerusi laman Twitter syarikat produksinya baru-baru ini.

Menurut laporan dari Mumbai Mirror, Vijay menyatakan tujuannya untuk menghasilkan filem itu adalah untuk mengakhiri monopoli bintang-bintang terkenal dan syarikat-syarikat produksi dalam industri perfileman.

"Menerusi filem ini, saya akan dedahkan Bollywood sepenuhnya. Hari ini, anak-anak dari luar, walaupun mereka mampu, mereka tidak mendapat peluang yang baik kerana kumpulan yang telah terbentuk dalam industri filem.

"Saya ingin pecahkan kumpulan ini. Filem saya akan tunjukkan semua kesalahan yang dilakukan terhadap Sushant. Dia terpaksa menamatkan riwayat hidupnya sendiri. Dia telah dibuli oleh orang ramai, diboikot dan dibuang daripada beberapa filem berulang kali.


"Filem ini bukanlah sebuah biopik tetapi sekadar inspirasi kehidupan Sushant. Ia akan merungkai pelbagai rahsia dalam industri filem. Semua orang mempunyai hak yang sama dalam filem dan Bollywood, tak kira dia berasal dari keluarga Bollywood mahupun orang luar," jelasnya.

Kata Vijay lagi, filemnya bukan hanya tertumpu kepada Sushant semata-mata, tetapi ia juga akan menceritakan kisah dan nasib beberapa orang aktor yang turut berdepan cabaran yang sama.

Sushant, yang telah menjayakan filem-filem seperti "M. S. Dhoni: The Untold Story" dan "Chhichhore", ditemui tidak bernyawa di kediamannya pada 14 Jun lalu, di mana dia disyaki bunuh diri akibat mengalami kemurungan selama enam bulan.

(Sumber: Vijay Shekhar Gupta Twitter & Mumbai Mirror)
(Sumber foto: VSG Binge Twitter)

 

Cinema Online, 24 Jun 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan