Ahmad Idham nafi FINAS berat sebelah | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Ahmad Idham nafi FINAS berat sebelah

Penulis: Nisa Irina

 Ahmad Idham jelaskan FINAS sentiasa bersikap terbuka kepada pihak yang ingin buat aduan.
Ahmad Idham jelaskan FINAS sentiasa bersikap terbuka kepada
pihak yang ingin buat aduan.

5 Nov – Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri menyangkal dakwaan bahawa pihaknya bersikap berat sebelah terhadap mana-mana syarikat produksi yang tampil membuat aduan berikutan.

Menurut Ahmad Idham, FINAS sentiasa bersikap terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin membuat aduan mengenai masalah dalam industri perfileman mahupun sekadar berkongsi pendapat masing-masing.

"Sejak dulu lagi FINAS sentiasa bersikap terbuka dan tidak pernah menolak pandangan atau masalah yang ingin dikemukakan. Setiap individu boleh berurusan melalui emel, menghantar surat atau menghubungi kami.

"Melalui kenyataan media yang diedarkan, pihak kami sering berkongsi nombor telefon untuk dihubungi supaya tiada halangan untuk orang luar berinteraksi," katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Semalam, penerbit terkenal Datuk Ayu Puteh, membuat dakwaan bahawa FINAS bersikap berat sebelah susulan masih tiada khabar berita berhubung kes cetak rompak filemnya, "Ada Apa Dengan Dosa", di sebuah platform e-dagang terkenal.

Ayu yang juga pemilik syarikat produksi Pencil Pictures & Records Sdn Bhd, mengakui berasa kesal dengan tindakan pihak FINAS mengalih tumpuan kepada kes cetak rompak "Mael Totey The Movie" sehinggakan dia terpaksa menguruskan kes filemnya sendiri.

Terdahulu, FINAS telah menubuhkan Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak sebagai langkah membanteras aktiviti pengedaran filem menerusi platform media sosial, e-dagang dan laman sesawang yang tidak mematuhi undang-undang.

(Sumber foto: Ahmad Idham Instagram)

Cinema Online, 05 Nov 2020

Waktu Tayangan