FINAS komited perkasa industri filem dalam fasa pasca COVID-19 | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

FINAS komited perkasa industri filem dalam fasa pasca COVID-19

Penulis: Ashraf Nasser

Pengerusi FINAS baharu, Zakaria Abdul Hamid mahu segera pulihkan ekonomi industri seni.
Pengerusi FINAS baharu, Zakaria Abdul Hamid mahu segera pulihkan ekonomi industri seni.

5 Jun – Selaku badan yang bertanggungjawab terhadap industri seni tanah air, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah mengambil langkah proaktif dalam memperkasa pembangunan industri filem dan pemerkasaan ekonomi dalam fasa pasca COVID-19.

Menurut satu kenyataan FINAS, mesyuarat ahli perbadanan yang dipengerusikan oleh Pengerusi FINAS yang baharu iaitu Zakaria Abdul Hamid semalam telah menyaksikan beberapa keputusan telah berjaya dicapai bagi memastikan kelangsungan industri.

Antaranya adalah memperkenalkan langkah pendek dalam tempoh tiga bulan ini yang akan disegerakan untuk meransang semula ekonomi industri melalui aktiviti pengeluaran filem dengan mengusahakan kebenaran bersyarat bagi aktiviti penggambaran mengikut prosedur operasi standard (SOP), mempercepatkan proses penyaluran dana di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) serta penstrukturan semula insentif penggambaran di Malaysia kepada sektor domestik.

Kedua, menyediakan insentif khas kepada penggiat industri perusahan kecil sederhana (PKS) melalui pemberian diskaun 50% bagi sewaan fasiliti, alatan produksi dan pembelian 'footage' di bawah FINAS untuk penggunaan bernilai RM1,000 dan ke atas.

FINAS juga akan membantu karyawan dan penggiat industri yang uzur, sakit, kurang upaya dan tidak berkemampuan dengan bantuan kebajikan di mana data para penggiat seni akan dikemaskini bagi tujuan penyaluran.

Selain itu, FINAS turut akan memperkukuhkan sinergi industri antara badan tersebut dengan pemegang taruh melalui penubuhan jawatankuasa kerja yang akan diketuai seorang ahli Perbadanan serta 5 orang wakil pemegang taruh industri yang akan terdiri daripada beberapa portfolio;

- Dato' Norman Abdul Halim – Pembangunan Industri, Pemasaran Antarabangsa & Kandungan Animasi
- Dato' Profesor Dr. Abdul Razak Mohaideen – Akreditasi, Latihan Kemahiran & Pembangunan Modal Insan
- Dato' Sri Eizlan Yusof – Hal Ehwal Warga Industri & Kebajikan
- En. Ku Muhammad Haris Ku Sulong – Kandungan Filem Festival, Dokumentari & Iklan
- En. Denes Kumar a/l Ragupathy – Kandungan Bahasa Tamil & Pasaran India
- Pn. Lina Tan Suan Jeu – Kandungan Bahasa Mandarin & Pasaran Cina

(Sumber foto: Budiey)

Cinema Online, 05 Jun 2020

Waktu Tayangan