FINAS sasar Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pasca produksi dan VFX | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

FINAS sasar Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pasca produksi dan VFX

Penulis: Nisa Irina

Ahmad Idham jelas FINAS terbuka untuk beri FIMI kepada produksi tempatan.
Ahmad Idham jelas FINAS terbuka untuk beri FIMI kepada produksi tempatan.

3 Dis – Studio produksi Base Digital Production Sdn Bhd mengumumkan pembabitan bakat-bakat tempatan dalam menerbitkan kesan khas visual (VFX) bagi siri TV Disney Plus "The Mandalorian" musim kedua dan filem "Star Wars: The Rise Of Skywalker (Episode IX)".

Secara tidak langsung, projek berkenaan mengangkat Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk menjalankan aktiviti pembuatan filem dan pasca produksi oleh pembikin filem di seluruh dunia.

Kerjasama Base Digital dalam pembabitan itu disokong sepenuhnya oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui 30 peratus subsidi Insentif Filem Di Malaysia (FIMI).

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, pemberian insentif tersebut tidak hanya terhad kepada syarikat produksi antarabangsa sahaja, tetapi juga syarikat produksi tempatan.

"FIMI telah menarik filem-filem besar untuk melabur dalam syarikat produksi berpengkalan di Malaysia, dan banyak lagi yang akan datang. Dengan itu, Malaysia telah menerima pengiktirafan secara antarabangsa sebagai pusat kesan khas visual dan pasca produksi.

"FINAS akan terus berusaha untuk untuk membangunkan industri filem dan kreatif di Malaysia dan mengembangkan bakat tempatan bagi meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk produksi antarabangsa," katanya.

Pengurus Besar Base Digital Production, Sailash Kumar berkata, Base Digital Production telah mengambil masa selama bertahun-tahun untuk melatih pakar VFX tempatan bagi menghasilkan kesan khas visual setaraf dengan Hollywood.

"Bakat tempatan juga memegang jawatan penyeliaan dan pengurusan di Base Digital Production, dan ia bukan tugas yang mudah memandangkan ia memerlukan pengalaman bertahun-tahun di pelbagai studio.

"Dengan FIMI, kami mampu untuk membawa pulang pakar VFX yang meneruskan kerjaya mereka dalam bidang kesan khas visual dan animasi di luar negara. Base Digital Production telah mengambil kira-kira sepuluh orang pakar VFX Malaysia yang bekerja di luar negara," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) KKM, Shakib Ahmad Shakir berkata, adalah penting bagi KKMM untuk memastikan kelestarian perniagaan dan pekerjaan terjamin.

"Kementerian akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan untuk melatih dan menggilap bakat-bakat di Malaysia, bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dan mahir dalam era digital ini," katanya.

Proses penghasilan VFX bagi "The Mandalorian" memakan masa selama tujuh bulan, bermula April hingga Oktober 2019, sementara "Star Wars: The Rise Of Skywalker (Episode IX)" hingga November, iaitu sebulan sebelum tayangannya.

Terdahulu, Base Digital Production telah menghasilkan kesan khas visual bagi filem aksi thriller Netflix "6 Underground" yang diterajui pelakon popular Hollywood, Ryan Reynolds.

Cinema Online, 03 Dis 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE

Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan