FINAS akan semak Lesen Pemameran Filem untuk pawagam pandu masuk | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

FINAS akan semak Lesen Pemameran Filem untuk pawagam pandu masuk

Penulis: Ashraf Nasser

Trend pawagam pandu masuk ini sudah lama wujud di negara Barat dan juga di beberapa negara Asia.
Trend pawagam pandu masuk ini sudah lama wujud di negara Barat
dan juga di beberapa negara Asia.

15 Jul – Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) iaitu Ahmad Idham Ahmad Nadzri memberitahu pihak FINAS akan menyemak, meneliti dan memperhalusi Lesen Pemameran Filem (EF) bagi sektor pawagam pandu masuk bagi memastikan filem yang ditayangkan tidak menjadi mangsa cetak rompak.

"Pawagam pandu masuk adalah di bawah sektor pemameran, mungkin ia wujud disebabkan normal baharu sekali gus menjadi satu trend. Faktor keselamatan adalah kriteria penting yang dititikberatkan kerana kita kena jaga sektor pengeluaran.

"Untuk itu, kita mungkin akan menggubal atau melakukan beberapa penambahbaikan terhadap lesen berkenaan untuk disesuaikan dengan jenis tayangan sebegini. Namun, sehingga hari ini, kita masih belum ada keputusan muktamad," ujarnya yang dipetik dari Bernama.

Tambah Ahmad Idham lagi, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi, Multimedia Malaysia (KKMM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memperincikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aktiviti pawagam pandu masuk ini bagi rujukan semua operator yang terlibat.

Jelasnya lagi, pegawalan perlu dibuat supaya ia tidak bercanggah dengan agenda FINAS yang mahu memperkasakan industri perfileman di Malaysia.

Pada 9 Julai lalu, pihak kerajaan telah membenarkan permohonan aktiviti pawagam pandu masuk tertakluk kepada SOP yang ditetapkan antaranya pengunjung mesti berada di dalam kenderaan masing-masing dan penjualan makanan dibuat secara dalam talian dan diambil secara pandu lalu.

(Sumber foto: Wall Street Journal)

Cinema Online, 15 Jul 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE

Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan