FINAS siasat kegiatan cetak rompak filem platform e-dagang | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

FINAS siasat kegiatan cetak rompak filem platform e-dagang

Penulis: Nisa Irina

Ahmad Idham tegaskan FINAS akan ambil tindakan undang-undang terhadap platform e-dagang yang menjual filem-filem cetak rompak.
Ahmad Idham tegaskan FINAS akan ambil tindakan undang-undang terhadap
platform e-dagang yang menjual filem-filem cetak rompak.

5 Ogos – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sedang menjalankan siasatan berhubung kegiatan penjualan filem-filem terbitan Malaysia yang dicetak rompak menerusi sebuah platform e-dagang terkenal.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata pihaknya telah cuba berhubung dengan pihak e-dagang dan penjual filem cetak rompak namun masih belum menerima maklum balas.

"Penguat kuasa FINAS sudah ke pejabat platform e-dagang berkenaan selepas menerima aduan beberapa penerbit, kelmarin. Bagaimanapun, pejabat ditutup.

"Pihak platform e-dagang minta FINAS menghantar e-mel. Kami sudah pun hantar e-mel, tetapi tidak mendapat sebarang respon.

"FINAS beri tempoh hingga petang semalam. Jika platform e-dagang berkenaan enggan memberi kerjasama, tindakan mohon waran mahkamah terpaksa diambil," tegasnya yang dipetik dari laporan BH Online.

Tambah Ahmad Idham lagi, FINAS akan mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Hakcipta 1987 jika platform e-dagang itu tidak memiliki lesen pengedaran dan tidak mendapat kebenaran daripada pihak penerbit.

Difahamkan pihak terbabit menjual tiga buah filem yang baru-baru ini ditayangkan di Astro First iaitu "Keluarga Iskandar The Movie", "Town Mall" dan "Ada Apa Dengan Dosa" dengan harga serendah RM1.

Jika sudah membuat pembayaran, para pembeli akan diberikan pautan khas ataupun cakera keras. Walau bagaimanapun, setelah disemak, platform e-dagang itu telah pun menurunkan kesemua filem-filem tersebut.

(Sumber foto: Ahmad Idham Facebook)

Cinema Online, 05 Ogos 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.
Waktu Tayangan