FINAS tubuhkan Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

FINAS tubuhkan Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak

Penulis: Nisa Irina

FINAS tegaskan pemegang lesen pengedaran filem untuk hentikan sebarang kegiatan pengedaran filem tanpa secara haram.
FINAS tegaskan pemegang lesen pengedaran filem untuk hentikan sebarang
kegiatan pengedaran filem tanpa secara haram.

27 Okt – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membanteras aktiviti pengedaran filem yang tidak mematuhi undang-undang melalui penubuhan Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak.

Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan semalam, FINAS mengingatkan pemegang lesen pengedaran filem untuk menghentikan sebarang kegiatan menjual, menyewa dan memberi pinjam filem menerusi platform media sosial, e-dagang dan laman sesawang.

Ini membabitkan urusan jual beli dan sewaan atas talian tanpa lesen pengedaran yang sah selain melakukan pelanggaran hak cipta dan syarat lesen yang ditetapkan.

"Langkah ini diambil untuk memperkasa dan memantapkan penguatkuasaan, peraturan dan syarat lesen pengedaran selaras dengan peruntukan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244)," katanya.

Sehubungan dengan itu, kenyataan tersebut turut menyebut FINAS akan melaksanakan pemantauan terperinci terhadap aduan awam mengenai kegiatan pengedaran filem tanpa kebenaran pemilik Hak Cipta.

"FINAS komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran yang menyalahi undang-undang berdasarkan Seksyen 22(1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244).

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda mengikut Seksyen 25(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Dalam pada itu, sebagai salah satu langkah dalam membanteras kegiatan pengedaran filem tanpa lesen FINAS yang sah, FINAS sentiasa terbuka dan menyambut baik kerjasama daripada mana-mana agensi berkenaan.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri menegaskan FINAS akan mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Hakcipta 1987 jika platform e-dagang tidak memiliki lesen pengedaran dan tidak mendapat kebenaran daripada pihak penerbit.

Ia susulan tiga buah filem yang baru-baru ini ditayangkan di Astro First iaitu "Keluarga Iskandar The Movie", "Town Mall" dan "Ada Apa Dengan Dosa" dijual di sebuah platform e-dagang terkenal dengan harga serendah RM1.

(Sumber foto: FINAS Facebook)

Cinema Online, 27 Okt 2020

Waktu Tayangan