Filem "Eye On The Ball" bakal tayang di Astro First | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Filem "Eye On The Ball" bakal tayang di Astro First

Penulis: Nisa Irina


"Eye On The Ball" papar kisah benar pasukan bola sepak cacat penglihatan Malaysia.

14 Ogos – Pembikin filem dokumentari "Eye On The Ball" akhirnya membuat keputusan untuk menayangkan filem itu di saluran Astro First setelah tayangannya tertunda selama beberapa bulan akibat pandemik COVID-19.

"Penantian kini berakhir! Filem pertama kami, "Eye On The Ball", yang menampilkan kisah sebenar pasukan bola sepak cacat penglihatan Malaysia, akan ditayangkan di Astro First (Saluran 480) pada 20 Ogos," tulis pihak penerbit menerusi media sosial rasmi filem itu.

"Eye On The Ball" yang sepatutnya tayang pada 19 Mac lalu, mengisahkan tentang pasukan bola sepak cacat penglihatan Malaysia, dikenali sebagai Harimau Buta, yang menyimpan impian untuk menjadi atlet profesional.

Ia menceritakan kehidupan Asri, Kenchot dan Rollen dan jurulatih Sunny Shalesh yang mempunyai misi dan impian sama iaitu mempertahankan kejuaraan yang diraih ketika Sukan Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur serta ingin melayakkan pasukan mereka ke Piala Dunia Bola Sepak Buta.

Buat makluman lanjut, Sunny mula melatih pemain bola sepak cacat penglihatan sejak tahun 2009, di mana dia percaya bahawa sukan itu boleh digunakan sebagai alat pembangunan sosial dengan memberi tumpuan terhadap kebolehan mereka.

"Eye On The Ball" diterbitkan oleh R.AGE di bawah Star Media Group, dengan kerjasama pertubuhan CIMB Foundation. Tayangan perdana filem arahan Chen Yih Wen itu telah diadakan pada Mac lalu di sebuah pawagam di Petaling Jaya, di mana ia dihadiri lebih 800 orang penonton.

(Sumber foto: Astro Shaw Twitter)

Cinema Online, 14 Ogos 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE
Waktu Tayangan