Filem "Geran" wakili Malaysia ke Festival Filem Asia Five Flavours ke-14 | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Filem "Geran" wakili Malaysia ke Festival Filem Asia Five Flavours ke-14

Penulis: Nisa Irina

 Tahniah buat kumpulan produksi yang menjayakan filem "Geran"!
Tahniah buat kumpulan produksi yang menjayakan filem "Geran"!

30 Okt – Kejayaan demi kejayaan terus digapai oleh syarikat produksi Layar Pictures dan Tree of Hopes Productions apabila filem aksi persilatan terbitan mereka, "Geran" diiktiraf di Festival Filem Asia Five Flavours ke-14.

Berita gembira berkenaan telah dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi filem "Geran" pada Jumaat.

"Alhamdulillah, hari itu ke Amerika, hari ini ke Eropah. Sukacita dimaklumkan bahawa filem "Geran" telah dipilih untuk ke 14th Five Flavours Asian Film Festival di Warsaw, Poland.

"Kami ingin kongsikan berita gembira di pagi Jumaat yang mulia ini bersama semua yang sentiasa menyokong dan mendoakan filem Geran sehingga kini.

"Five Flavours Asian Film Festival yang ke-14 ini juga bakal dilansungkan secara dalam talian dari 25 November 2020 hingga 6 Disember 2020.

"Kami pun tidak dapat terbang ke sana disebabkan wabak pandemik yang melanda seluruh dunia sekarang ni.

"Marilah kita terus berkarya dengan menghasilkan filem-filem berkualiti. Tahniah kepada semua Geranian dan seluruh penggiat seni tanah air!" tulis mereka.

Untuk rekod, ini merupakan kali kedua filem arahan Areel Abu Bakar itu diiktiraf di luar negara apabila ia berjaya merangkul anugerah di Festival Filem Asia New York (NYAFF) ke-19 pada Ogos lalu.

Filem yang mengangkat seni persilatan Gayong Pusaka ini berkisarkan mengenai sebuah keluarga pesilat yang cuba mempertahankan maruah dan tanah rumah mereka daripada tergadai selepas adik mereka menghilangkan diri dan menggadai geran tanah itu kepada lintah darat.

Ia membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Namron, Khoharullah Majid, Feina Tajuddin, Fad Anuar, Azlan Komeng dan Megat Shahrizal.

Selain "Geran", sebuah lagi filem tempatan yang turut terpilih ke Festival Filem Asia Five Flavours ke-14 adalah "'Sometime, Sometime" arahan Jacky Yeap.

(Sumber foto: Areel Abu Bakar Instagram)

Cinema Online, 30 Okt 2020

Filem Berkaitan:
Geran (Melayu) (10 Okt 2019)


Waktu Tayangan