Filem kedua tentang Sushant Singh Rajput diberi judul "Sushant" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Filem kedua tentang Sushant Singh Rajput diberi judul "Sushant"

Penulis: Nisa Irina

 Filem
Filem "Sushant" akan ceritakan pergelutan pendatang baru dalam industri Bollywood.

25 Jun – Selepas pengarah Vijay Shekar Gupta mengumumkan pembikinan filem tentang aktor Sushant Singh Rajput baru-baru ini, kini pengarah Sanoj Mishra juga mendedahkan bahawa dia akan membikin sebuah filem berjudul "Sushant".

Menurut Sanoj, filemnya bukanlah sebuah biopik tetapi ia merupakan kisah-kisah pergelutan pendatang baru dalam industri perfileman yang pergi ke Mumbai demi mengejar cita-cita masing-masing.

"Filem ini adalah kisah semua yang terpaksa berdepan cabaran untuk menceburi industri Bollywood kerana pelbagai gangguan.

"Filem ini akan diterbikan di bawah syarikat produksi Road Production dan Sanoj Mishra Films. Sesi penggambaran akan berlangsung di Mumbai dan Bihar," ujarnya yang dipetik dari Hindustan Times.

Walau bagaimanapun, ianya masih dalam perancangan awal dan segala butiran lanjut termasuk barisan pelakon dan tarikh rilisnya masih belum didedahkan buat masa ini.

Terdahulu, filem yang bakal diarahkan oleh Vijay Shekar Gupta itu diberi judul "Suicide or Murder?", yang mana ia akan mendedahkan rahsia-rahsia dalam industri Bollywood.

Seperti filem Sanoj, Vijay juga memberitahu filemnya akan menceritakan cabaran-cabaran dan pergelutan yang dihadapi oleh para penggiat seni yang cuba mencipta nama dalam industri Bollywood.

Untuk rekod, Sushant disahkan meninggal dunia di kediamannya pada 14 Jun lalu, di mana dia membunuh diri kerana disyaki mengalami kemurungan selama enam bulan.

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Farhana Moumi Pinterest & Bolly)

Cinema Online, 25 Jun 2020

Waktu Tayangan