Filem tempatan "Paramapatham" terima Malaysia Book of Records | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Filem tempatan "Paramapatham" terima Malaysia Book of Records

Penulis: Ashraf Nasser

Filem
Filem "Paramapatham" berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

13 Jul – Filem Tamil tempatan iaitu "Paramapatham" telah mencipta kejayaan apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records untuk 'Filem Tamil Tempatan Yang Memenangi Anugerah Terbanyak'.

Pengiktirafan itu diterima selepas filem arahan dua beradik iaitu Viknes dan Thanesh Perrabu Perrabu berjaya merangkul 16 anugerah di beberapa festival filem.

Menurut Viknes, dia dan pasukan produksinya mengambil tempoh yang lama iaitu enam bulan untuk membuat penyelidikan bagi menghasilkan papan permainan ular dan tangga yang berasal dari India sejak berabad dahulu.

Ia berkisarkan mengenai seorang ahli arkeologi bernama Aroon dan tiga rakannya yang terjumpa permainan papan purba dengan tulisan 'Paramapatham' ketika mereka mengembara.


Pengarah ketika bergambar bersama sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records
yang diterima mereka.

Menurut laporan yang dipetik dari Free Malaysia Today, antara anugerah yang berjaya diraihkan termasuklah Sinematografi Terbaik di Festival Filem Norway, Filem Cereka Terbaik di Festival Filem Tagore dan Penerbit Terbaik di Festival Filem Coimbatore.

"Kami terkejut bagaimana dunia menyukai "Parampatham" dan kami rasa bertuah dengan penghargaan daripada Malaysia Book of Records, tetapi kami terhutang budi dengan pasukan produksi kami yang hebat," ujar Viknes.

Filem itu menjalani penggambaran di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dengan menggunakan bangunan terbiar British sebagai lokasi penggambaran.

Untuk mencantikkan lagi filem, filem turut bekerjasama dengan syarikat kesan khas dari India untuk menghasilkan Imej Janaan Komputer (CGI).

Dalam perkembangan lain, filem "Parampatham" sepatutnya menemui penonton di seluruh Malaysia pada Jun lalu, namun terpaksa ditunda berikutan penularan pandemik COVID-19.

Filem itu dijangka akan ditayangkan pada hujung tahun ini.

(Sumber foto: Parampatham Facebook)

Cinema Online, 13 Jul 2020

Waktu Tayangan