Hairul Azreen teruja kisahnya diangkat di layar perak | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Hairul Azreen teruja kisahnya diangkat di layar perak

Penulis: Ashraf Nasser

Salah satu babak dalam "Pasal Kau".
Salah satu babak dalam "Pasal Kau".

23 Sep – Pelakon popular Hairul Azreen mengakui teruja dan tidak menyangka apabila penerbit dan pengarah terkenal Adrian Teh menerima ideanya untuk filem romantik komedi "Pasal Kau" yang diangkat dari kisah hidupnya ketika bekerja di sebuah hotel sebelum bergelar pelakon.

"Seperti yang anda sudah ketahui, saya 'pitch' idea filem "Pasal Kau" ini kepada Adrian mengenai kisah sebenar ketika saya bekerja di sebuah hotel dan tak sangka idea saya diterima dan akhirnya ia diangkat ke layar perak.

Walaupun saya lebih ke arah genre aksi sebelum ini, namun apabila membintangi filem genre romantik komedi ini, ia memberi satu pengalaman baru," ujarnya.

Menurut Hairul, walaupun filem ini adalah sebuah naskhah ringan, namun ia tetap mempunyai cabarannya tersendiri yang mana pengarah mahukan dia mengubah bentuk fizikalnya kepada seorang yang bertubuh besar.

"Jika sebelum ini ketika membintangi filem "Paskal" dan "Wira" Adrian sering tekankan kepada saya untuk dapatkan bentuk tubuh sasa, namun berbeza pula dengan filem ini apabila dia minta saya gemuk pula.

"Bukannya mudah untuk tambah berat badan. Saya terpaksa kerap makan dan berhenti dari melakukan sebarang senaman selama beberapa bulan. Bagaimanapun saya hanya berjaya tambah berat sebanyak 5kg sahaja. Bagaimanapun bahagian pipi saya kelihatan tembam jadi okay lah."

Dalam pada itu, Hairul berkata walaupun filem ini tidak dapat ditayangkan di pawagam tetapi dia tetap teruja apabila ia akan ditayangkan platform penstriman video terkemuka Netflix secara eksklusif.

Menerusi filem ini, Hairul bergandingan dengan pelakon popular Janna Nick sebagai peneraju, selain turut dibintangi pelakon popular lain seperti Yayan Ruhian, Namron, Amerul Affendi, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Theeban G, Josiah Hogan dan ramai lagi.

"Pasal Kau" akan mula ditayangkan di Netflix pada 1 Oktober ini.

Cinema Online, 23 Sept 2020

Filem Berkaitan:
Paskal The Movie (Melayu) (27 Sept 2018)
Wira (Melayu) (21 Nov 2019)


Waktu Tayangan