Buletin
Hairul Azreen teruja bergandingan dengan pelakon hebat dalam "Bakara"


Tarikh disiarkan: 20 Januari 2020

Hairul Azreen bersama barisan pelakon utama lain iaitu Bront Palarae, Fauzi Nawawi, Remy Ishak dan pengarah Adrian Teh.
Hairul Azreen bersama barisan pelakon utama lain iaitu
Bront Palarae, Fauzi Nawawi, Remy Ishak dan pengarah Adrian Teh.

20 Jan – Selepas kejayaan filem "Paskal The Movie" dan "Wira", pelakon Hairul Azreen bakal muncul dengan sebuah lagi filem aksi ketenteraan berjudul "Bakara".

Filem arahan Adrian Teh itu adalah sebuah naskhah yang diinspirasikan daripada kisah sebenar mengenai kehebatan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menyelamatkan tentera elit Amerika Syarikat yang terperangkap dalam Pasar Bakara dalam pertempuran di Mogadishu, Somalia pada tahun 1993.

Menurut Hairul apabila pengarah memberitahu dia terpilih untuk turut terlibat dalam filem tersebut, dia tidak fikir panjang untuk bersetuju ditambah dengan barisan aktor hebat lain yang akan turut terlibat dalam filem ini.

"Saya tahu mengenai cadangan Adrian untuk buat filem "Bakara" ini ketika tayangan filem "Paskal The Movie", namun tiada 'update' selepas itu, namun apabila pengarah sudah berkata projek itu akan direalisasi dan saya terlibat, saya tak fikir panjang untuk bersetuju turut bintangi filem ini.


"Apa yang membuatkan saya lebih teruja dan berbangga adalah saya dapat bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat tanah air yang mana kami akan menjayakan watak sebagai pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) yang terlibat dalam operasi menyelamatkan tentera elit Amerika Syarikat yang terperangkap di Pasar Bakara," ujarnya yang ditemui selepas perlancaran filem "Bakara" di 19 RAMD (MEKANIZE) Kem Lapangan Terbang, Sg Petani baru-baru ini.

Antara pelakon hebat lain yang akan menerajui filem ini adalah Remy Ishak, Bront Palarae, Fauzi Nawawi dan Shaheizy Sam.

Selain kelima-lima pelakon utama ini, pengarah turut akan menampilkan beberapa lagi nama besar yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai wataknya dalam filem "Bakara", Hairul berkata buat masa wataknya masih lagi belum dimuktamadkan tetapi pengarah sudah meminta dia dan barisan pelakon lain supaya berada dalam keadaan 'fit' sebelum penggambaran bermula.

Malah kesemua mereka akan menjalani latihan bersama ATM sekurang-kurangnya selama dua bulan bagi mempersiapkan diri sebagai seorang anggota tentera.

"Bakara" terbitan Act 2 Pictures dan Adaza88 Studio ini mendapat sokongan penuh daripada Tentera Darat Malaysia (TDM).

Filem ini dijadualkan akan memulakan penggambaran pada bulan Jun depan di Malaysia dan Turki.

"Bakara" akan menemui penonton pada Hari Kemerdekaan Ke-64 iaitu pada 31 Ogos 2021.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Bakara (Melayu) (31 Ogos 2021)



Ticket Pricing Guide