Hrithik Roshan terdesak ingin bawa watak polis? | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Hrithik Roshan terdesak ingin bawa watak polis?

Penulis: Nisa Irina


Pasti ramai peminat menanti kemunculan Hrithik Roshan sebagai watak polis.

24 Jan – Biarpun sudah membintangi pelbagai filem aksi sepanjang bergiat dalam dunia perfileman, namun aktor Hrithik Roshan meluahkan keinginannya untuk menerajui filem sebagai watak polis.

"Saya telah menjayakan pelbagai jenis watak sepanjang hidup saya. Walau bagaimanapun, saya belum pernah berpeluang untuk menjayakan watak seorang polis.

"Saya akan mendesak pembikin filem untuk memberi watak polis kepada saya kerana ia adalah watak paling mencabar bagi saya dan saya menganggap ia watak terbaik dalam hidup saya," katanya yang dipetik dari Times of India.


Baru-baru ini, Hrithik telah menghadiri sebuah acara yang dianjurkan oleh Polis Mumbai, "Umang 2020", di mana dia menghargai usaha pihak polis untuk terus mengekalkan keamanan di bandar itu.

Acara tahunan "Umang 2020" yang turut menampilkan beberapa selebriti Bollywood lain itu akan bersiaran pada 26 Januari ini menerusi saluran Sony Entertainment Television.

Kali terakhir Hrithik beraksi di layar perak adalah menerusi filem pecah panggung "War" bersama rakan aktornya Tiger Shroff pada tahun lalu.

Terkini, Hrithik dilaporkan bakal terlibat dengan pembikinan filem adiwira arahan bapanya Rakesh Roshan berjudul "Krrish 4".

(Sumber foto: Femina)
(Sumber artikel: Times of India)

Cinema Online, 24 Jan 2020

Waktu Tayangan