Buletin
Ikhwansha Hazer akui bajet besar bukan penentu kejayaan sesebuah filem


Tarikh disiarkan: 24 Januari 2020

Ikhwansha Hazer mahu beri kelainan dalam filem arahannya "Escape".
Ikhwansha Hazer mahu beri kelainan dalam filem arahannya "Escape".

24 Jan – Pengarah Ikhwansha Hazer memberitahu bajet besar untuk sesebuah filem tidak semestinya akan menjamin kualiti dan kejayaan filem tersebut, oleh itu dia tiada masalah untuk mengarah filem bajet kecil "Escape" yang juga merupakan filem pertamanya.

"Menjalankan penggambaran dengan bajet yang besar adalah impian setiap pengarah. Namun jika terlalu kerap bekerja dengan bajet besar, takut nanti daya kreativiti pengarah jadi terhad.

"Sebaliknya apabila bekerja dengan bajet rendah, pengarah terutamanya perlu sentiasa berfikir di luar kotak. Ia adalah untuk memastikan visual dapat direalisasikan dengan cemerlang walau dengan apa cara sekalipun.


"Walaupun kos filem "Escape" RM600,000 sahaja, namun saya mahu pastikan naskhah ini mempunyai nilai produksi 'mahal' meski dengan bajet rendah," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Dalam pada itu, walaupun perlu bekerja dengan bajet terhad namun dia tidak bersetuju apabila kru produksi dikerah tanpa bayaran setimpal ketika melakukan penggambaran.

Tambahnya lagi, perkara itu sepatutnya tidak berlaku lagi pada zaman industri filem tempatan kian berkembangan dan meningkat naik.

Filem 'cerebral thriller' ini dibintangi barisan pelakon hebat seperti Kamal Adli, Elizabeth Tan, Amar Asyraf, Jue Aziz, Riz Amin, Zamarul Hisham, Pablo Amirul, Fiza Fukazawa dan Datuk Jalaluddin Hassan.

"Escape" terbitan Dreamland Production ini akan menemui penonton bulan Mac ini.

(Sumber foto: Xtra)

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide