Buletin
Ikhwansha Hazer akui berdepan cabaran besar hasilkan "Escape"


Tarikh disiarkan: 14 Januari 2020


Pengarah janjikan kelainan dalam "Escape" menerusi 'plot twist' dalam setiap babak.

14 Jan – Pengarah filem "Escape" iaitu Ikhwansha Hazer mendedahkan dia berdepan cabaran besar ketika menggarap filem tersebut berikutan hampir separuh daripada filem itu menjalani penggambaran di satu lokasi sahaja iaitu di sebuah bilik.

"Cabaran utama filem ini adalah apabila hampir 50 peratus lokasi dalam sebuah bilik saja. Jadi, untuk menjadikan babak di dalam bilik itu menarik, saya perlu memastikan jenis shot, 'angle', 'blocking' dan komposisi setiap babak berbeza daripada sebelumnya.

"Cabaran kedua pula adalah masa. Ini kerana filem ini dihasilkan dengan bajet yang terhad. Jadi kami tidak mempunyai keselesaan untuk melakukan penggambaran hanya satu atau dua babak dalam sehari.

"Ada hari yang kami terpaksa menjalani penggambaran sehingga 11 babak. Ia memerlukan kami berada di lokasi dari pagi hingga keesokan paginya. Namun, saya bersyukur kerana mempunyai pasukan sangat efektif dan bersemangat untuk menyempurnakan naskhah filem ini walau apa cabaran dan masalah yang datang," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Filem thriller ini akan menampilkan pelakon dan penyanyi popular Elizabeth Tan sebagai peneraju bersama dua lagi aktor iaitu Kamal Adli dan Amar Asyraf.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai filemnya itu Ikhwansha berkata filemnya akan memberikan kelainan yang mana aka nada 'plot twist' dan 'unexpected incident' dalam setiap babak yang dipaparkan.

"Escape" akan menemui penonton di seluruh negara pada Mac depan.

(Sumber foto: Pablo Amirul Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide