John Abraham bakal terbitkan "Ayyappanum Koshiyum" versi Hindi | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

John Abraham bakal terbitkan "Ayyappanum Koshiyum" versi Hindi

Penulis: Nisa Irina

Belum pasti jika John Abraham akan membintangi filem 'remake' terbitannya ini.
Belum pasti jika John Abraham akan membintangi filem 'remake' terbitannya ini.

29 Mei – Aktor dan penerbit John Abraham dilaporkan bakal menerbitkan filem terkenal Malayalam "Ayyappanum Koshiyum" dalam versi Hindi.

Perkara itu telah diumumkan sendiri oleh John menerusi akaun Twitter miliknya baru-baru ini dengan menyatakan filem itu adalah sebuah karya yang lengkap dengan jalan cerita yang bagus.

""Ayyappanum Koshiyum", sebuah filem yang mempunyai keseimbangan sempurna antara aksi, thriller dan sebuah jalan cerita yang bagus.

"Di JA Entertainment (syarikat produksi John) kami sangat berminat untuk membawakan kisah-kisah menarik kepada para penonton kami.

"Kami berharap kami dapat menghasilkan sebuah filem yang menarik dengan 'remake' versi Hindi ini. Sangat teruja!!!" tulisnya.

Perkongsian itu telah menarik perhatian ramai peminat yang rata-ratanya memberi sokongan dan ucapan selamat maju jaya, malah ada yang memberi cadangan nama-nama aktor Bollywood untuk membintangi filem itu.

Walau bagaimanapun, setakat ini John masih belum mendedahkan butiran lanjut mengenainya dan masih belum pasti jika dia juga akan membintangi filem tersebut.

Berbalik kepada filem asal, "Ayyappanum Koshiyum" menampilkan aktor Prithviraj Sukumaran dan Biju Menon sebagai peneraju utama.

Filem arahan Sachy yang ditayangkan pada Februari lalu itu telah berjaya meraih kutipan pecah panggung serta menerima banyak maklum balas dan ulasan positif daripada pengkritik filem.

(Sumber: John Abraham Twitter)
(Sumber foto: Pinterest & Cinestaan)

Cinema Online, 29 Mei 2020

Waktu Tayangan