Kaka, Shamaine setuju bantuan hanya disalurkan kepada golongan memerlukan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Kaka, Shamaine setuju bantuan hanya disalurkan kepada golongan memerlukan

Penulis: Nisa Irina


Kaka Azraff dan Shamaine Othman minta semua pihak bertolak ansur.

31 Mac - Baru-baru ini kerajaan telah memutuskan untuk mensalurkan bantuan berbentuk wang tunai iaitu Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada golongan B40 dan M40 bagi mengurangkan beban rakyat.

Namun terdapat segelintir artis tempatan yang berpendapat bahawa golongan artis juga perlu menerima bantuan khusus daripada kerajaan, menyebabkan isu itu tular di laman sosial dan menimbulkan kemarahan orang ramai.

Selain itu, terdapat juga segelintir usahawan dan ahli perniagaan tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk memberi bantuan hanya kepada golongan B40 dan M40.


Pelakon dan penyanyi Kaka Azraff membidas kenyataan mereka menerusi laman Twitter dan memberitahu dia lebih berasa simpati terhadap golongan yang hidup susah dan lebih memerlukan.

"Dapat barang percuma pun kira rezeki. Kadang-kadang orang bagi untuk buat 'review', pun rezeki juga. Golongan lain tak dapat pun barang percuma. Kurang kat sini mungkin lebih kat situ. Macam itu lah hidup. Bersyukur itu besar nikmatnya.

"Ingat! Bila rasa hidup itu susah, ada orang yang hidup dia lagi susah dari kita. Jaga keselamatan, duduk rumah, buat benda berfaedah, jangan sebarkan berita palsu. Terima kasih dan selamat berjuang 'frontliners' dan ketua rumah," tulisnya.

Selain Kaka, beberapa artis tempatan turut mempunyai pendapat yang sama iaitu bantuan kerajaan hanya disalurkan kepada golongan lain yang memerlukan.

"Sekarang baru nak bising, dah terdesak. Di mana suara anda semua untuk meminta sebuah industri yang sihat dan kebajikan semua pihak terjaga?

"Kalau anda dah kisah sangat pasal kebajikan artis, sepatutnya anda bekerjsama memperjuangkan perkara ini dan mungkin situasi akan berubah dan ia tidak berakhir dengan kekecewaan ketika krisis kesihatan ini," tulis pelakon dan pelawak Shamaine Othman.

(Sumber foto: Kaka Azraff & Shamaine Othman Instagram)

Cinema Online, 31 Mac 2020

Waktu Tayangan