Kangana Ranaut cetus perang media sosial dengan Urmila Matondkar | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Kangana Ranaut cetus perang media sosial dengan Urmila Matondkar

Penulis: Nisa Irina

Kangana dikecam, sementara Urmila menerima sokongan rakan-rakan selebriti Bollywood.
Kangana dikecam, sementara Urmila menerima sokongan rakan-rakan selebriti Bollywood.

19 Sep – Sejak kebelakangan ini nama Kangana Ranaut menjadi sebutan ramai di media sosial apabila aktres yang bermulut lantang itu semakin berani menyuarakan pelbagai isu berkaitan sisi gelap Bollywood.

Belum selesai perbalahan mengenai kes kematian aktor Sushant Singh Rajput dan isu antara India Pakistan Occupied Kashmir (POK), kini Kangana berperang pula dengan aktres Urmila Matondkar di media sosial.

Perbalahan bermula apabila Urmila, yang juga seorang ahli politik, mempersoalkan peruntukan perlindungan kategori Y kepada Kangana pada 9 September dan membidas kenyataan Kangana berkenaan penglibatan dadah dalam industri Bollywood.

Tidak berpuas hati dengan Urmila, Kangana bertindak menggelar aktres itu bintang filem lucah dan mempersendakan bakat lakonannya sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang ramai serta selebriti lain.

"Urmila adalah seorang bintang filem lucah. Sudah tentu dia tidak terkenal atas lakonannya, apa yang membuatkan dia terkenal? Kerana membintangi filem-filem lucah bukan? Jika dia boleh dapatkan tiket undian, mengapa tidak saya?" soal Kangana yang dipetik dari The New Indian Express.

Antara selebriti Bollywood yang berani bersuara untuk mempertahankan Urmila di media sosial ialah Pooja Bhatt, Swara Bhasker, Farah Ali Khan serta pengarah Anubhav Sinha.

Biarpun menerima kecaman hebat daripada orang ramai, namun aktres filem "Panga" itu tidak berdiam diri, sebaliknya bangkit melawan semula kecaman terhadap salah seorang pengguna Twitter.

Dalam pada itu, Kangana mempertahankan diri sendiri dengan mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak pernah berniat untuk menimbulkan sebarang perbalahan dan sanggup undur diri dari Twitter jika ada sesiapa yang menunjukkan bukti sebaliknya.

(Sumber: The New Indian Express)
(Sumber foto: India Telugu & Wikimedia)

 

Cinema Online, 19 Sept 2020

Waktu Tayangan