"Kelaster" papar kisah seram pelajar terperangkap di kolej ketika PKP | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"Kelaster" papar kisah seram pelajar terperangkap di kolej ketika PKP

Penulis: Nisa Irina

"Kelaster" tampilkan Nora Danish, Meerqeen dan Achey sebagai pelakon utama.
"Kelaster" tampilkan Nora Danish, Meerqeen dan Achey sebagai pelakon utama.

21 Sep – Sejajar dengan situasi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada Mac hingga Mei lalu, syarikat produksi D Alpha Legacy (M) Sdn Bhd mengambil peluang untuk menghasilkan sebuah filem seram komedi berjudul "Kelaster".

Ketika pelaksanaan PKP, hampir kesemua industri, termasuk pendidikan, telah terjejas sehingga menyebabkan terdapat ramai para pelajar kolej dari seluruh negara terkandas di kampus masing-masing.

Penerbit Eksekutif D Alpha Legacy, Sanjay Kumar Veerasingam, meluahkan rasa gembira susulan telefilem pertama terbitan produksinya akan menemui penonton di rumah menerusi saluran Astro First (480).

"Kami mendapat idea menghasilkan "Kelaster" setelah melihat apa yang berlaku ketika tempoh PKP yang lalu. Kemudian kami mengolahnya menjadi cerita yang menarik.

"Manakala tempoh sesi penggambaran hanya mengambil masa enam hari dan saya harus berikan pujian kepada kru dan barisan pelakon yang telah memberikan komitmen yang terbaik dalam menjayakan karya ini," ujar Sanjay.

Sehubungan dengan itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad turut berasa teruja kerana berpeluang untuk menjalin kerjasama dengan D Alpha Legacy buat pertama kali bagi mempersembahkan sebuah cerita yang berkait dengan isu semasa.

Buat makluman lanjut, "Kelaster" menandakan kemunculan semula pelakon Nora Danish selepas dua tahun tidak membintangi filem, serta kemunculan pertama pemenang tempat ketiga Hero Remaja 2020, Meerqeen.

Selain Nora dan Meerqeen, filem ini turut menampilkan pelakon lain iaitu Azhan Rani, Achey dan Amyza Aznan.

Diarahkan oleh Razif Ajiboy Rashid, "Kelaster" mengisahkan tentang Ain bersama Usop dan Zul tidak dapat pulang ke kampung dan terpaksa duduk di kolej kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka telah diganggu dengan pelbagai kejadian pelik dan misteri. Lebih mendebarkan apabila mereka mendapati telah berlakunya satu insiden ngeri sehingga setiap gerak geri mereka seperti diperhatikan.

"Kelaster" akan mula menemui penonton pada 24 September ini.

Cinema Online, 21 Sept 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE
Waktu Tayangan