"Keluarga Baha Don" musim kedua lebih 'gila' | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"Keluarga Baha Don" musim kedua lebih 'gila'

Penulis: Ashraf Nasser

Barisan pelakon utama "Keluarga Baha Don" musim kedua teruja menanti reaksi peminat.
Barisan pelakon utama "Keluarga Baha Don" musim kedua teruja menanti reaksi peminat.

3 Dis – Selepas berjaya mendapat sambutan hangat daripada penonton dan berjaya meraih beberapa anugerah di peringkat tempatan dan Asia, siri komedi popular "Keluarga Baha Don" kembali dengan musim kedua.

Musim kedua siri Viu Original yang mula ditayangkan hari ini menjanjikan jalan cerita yang lebih menarik dan lebih 'gila' termasuklah 'plot-twist' yang akan membuatkan penonton lebih teruja.

Menurut pengarahnya iaitu Syed Fariz Syed Khairuddin, dia mengakui berasa sedikit tekanan apabila menghasilkan musim kedua berikutan peminat meletakkan harapan yang lebih tinggi susulan kejayaan musim pertama.

"Ya, sememangnya semua berasa sedikit 'pressure' untuk memastikan musim kedua ini lebih bagus dari musim pertama. Untuk musim kedua ini kami tak gunakan formula lain sebaliknya meneruskan formula yang sama dari musim pertama iaitu memastikan jalan cerita yang ditampilkan dalam musim kedua bagus," ujarnya ketika sidang media maya "Keluarga Baha Don" musim kedua sebentar tadi.

Dalam pada itu, Remy Ishak yang merupakan salah seorang pelakon utama siri ini turut mengakui berdepan cabaran untuk menghidupkan semula wataknya sebagai Jo Don dalam musim kedua ini.

"Saya tidak berdepan sebarang masalah sepanjang penggambaran kerana kami semua (barisan pelakon) sudah mempunyai keserasian sejak dari musim pertama lagi, tetapi cabaran yang saya hadapi adalah untuk menjayakan watak saya yang kini sudah berkembang.

"Apabila watak saya dikembagkan lagi, saya perlu pastikan yang saya dapat visualkan apa yang dikehendaki oleh pengarah dan penulis skrip. Apa yang saya boleh katakan skrip untuk musim kedua ini lebih 'gila' dan seronok."

Selain Remy, Jihan Muse, Mark Adam, Khir Rahman, Susan lankester, Sharifah Aleysha, Melissa Campbell dan beberapa lagi akan kembali menghidupkan watak asal mereka.

Musim kedua ini akan turut dibintangi barisan pelakon baru seperti Tony Eusoff, Amy Mastura, Azman Hassan, Marsha Milan dan ramai lagi.

Bagi penonton yang belum tonton musim pertama siri ini dinasihatkan supaya menonton musim pertama terlebih dahulu sebelum tonton musim kedua supaya anda dapat merasai sendiri 'aura' Keluarga Baha Don ini.

Jadi jangan ketinggalan untuk menyaksikan "Keluarga Baha Don" musim kedua di Viu bermula hari ini secara percuma di App Store, Google Play, TV pintar terpilih dan juga di laman sesawang www.viu.com.

Cinema Online, 03 Dis 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE
Waktu Tayangan