Kerajaan bakal beri bantuan kepada penggiat seni terjejas akibat COVID-19 | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Kerajaan bakal beri bantuan kepada penggiat seni terjejas akibat COVID-19

Penulis: Ashraf Nasser


Dato' Saifuddin Abdullah sediakan peruntukan kepada FINAS untuk disalurkan kepada penggiat seni terjejas.
6 Apr - Berita gembira buat penggiat seni tanah air yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19 apabila pihak kerajaan telah mengumumkan golongan itu akan turut mendapat bantuan daripada pihak kerajaan.

Perkara itu telah diumumkan oleh Menteri Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM), Dato' Saifuddin Abdullah baru-baru ini.

Menurut Saifuddin, bantuan itu akan disalurkan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang kemudian akan menyalurkan kepada penggiat seni yang layak.

"Kami diberikan peruntukan tetapi tidaklah banyak sangat. Bantuan ini akan disalurkan kepada FINAS untuk diagihkan kepada penggiat seni yang benar-benar memerlukan terjejas seperti penggiat seni veteran dan OKU," ujarnya dalam sebuah video yang dimuat naik di laman Instagram SENIMAN.

Pengumuman yang dibuat oleh KKMM itu nyata melegakan hati Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) yang bersyukur dengan keprihatinan kerajaan terhadap anak seni yang terjejas.

Minggu lalu, dunia menjadi hangat apabila netizen dan segelintir penggiat seni 'berperang' di laman sosial berikutan ada artis popular memohon kerajaan memberikan bantuan khas kepada penggiat seni yang terjejas.

Ramai netizen yang berang kerana artis-artis yang memohon bantuan khas itu dikatakan sering menunjukkan kemewahan di laman sosial masing-masing tetapi minta bantuan kerajaan.

Bagaimanapun, artis-artis itu telah tampil membuat permohonan maaf dan berkata mereka menyuarakan perkara berkenaan bukan untuk diri mereka, sebaliknya untuk penggiat seni yang terjejas termasuk pekerja di belakang tabir.

Diharap dengan pengumuman oleh menteri KKMM ini tidak akan mencetuskan 'perang' kedua diantara netizen dan penggiat seni.

(Sumbe foto: soyacincau) Cinema Online, 06 Apr 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan