Pengarah Amjad Khan kerap terima emel ugutan bunuh | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Pengarah Amjad Khan kerap terima emel ugutan bunuh

Penulis: Nisa Irina

Amjad Khan masih akan teruskan tayang filem "Gul Makai" walaupun menerima ugutan.
Amjad Khan masih akan teruskan tayang filem "Gul Makai" walaupun menerima ugutan.

21 Jan – Gara-gara menghasilkan sebuah filem biopik mengenai aktivis pendidikan Pakistan dan pemenang anugerah Nobel Malala Yousafzai, pengarah Amjad Khan mendedahkan dia menerima banyak emel berupa ugutan bunuh.

Diberi judul "Gul Makai", Amjad memberitahu ugutan-ugutan yang diterima daripada individu-individu tidak dikenali sejak dia memulakan biopik itu tidak pernah menghalangnya untuk meneruskan projek tersebut.

"Filem ini menceritakan kisah peribadinya dan insiden mengerikan yang dihadapinya ketika berada di Swat. Mungkin ramai tahu kisahnya tetapi hanya segelintir yang tahu kehidupan balik tabirnya sebelum dia ditembak mati oleh Taliban pada 2012.

"Pada zaman ini orang ramai memerlukan inspirasi, terutamanya golongan wanita. Filem ini menceritakan keberanian dan keazaman seseorang yang berdepan dengan situasi paling sukar dalam hidupnya.

"Filem ini bukan sahaja mengenai seorang gadis yang diiktiraf oleh UN sebagai individu paling berpengaruh tetapi juga kisah seorang bapa, ibu, guru dan askar. Ia boleh dikaitkan dengan semua penonton," jelas Amjad yang dipetik dari Times of India.

Filem itu merupakan debut aktres televisyen kanak-kanak terkenal Reem Shaikh di layar perak. Selain Reem, ia turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Atul Kulkarni, Divya Dutta, Om Puri, Arif Zakaria dan ramai lagi.

Diterbitkan oleh Sanjay Singhla bersama Preeti Vijay Jaju, Dhaval dan Aksshay Jayantilal Gada, filem "Gul Makai" bakal menjengah penonton di pawagam bermula 31 Januari ini.

(Sumber foto: Social News XYZ)
(Sumber artikel: Times of India)

Cinema Online, 21 Jan 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan