Karan Johar tolak semua spekulasi tentang "Takht" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Karan Johar tolak semua spekulasi tentang "Takht"

Penulis: Nisa Irina

Karan Johar minta supaya semua pihak media hentikan berita palsu.
Karan Johar minta supaya semua pihak media hentikan berita palsu.

4 Apr – Krisis pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah menyebabkan industri perfileman terjejas sehinggakan operasi syarikat produksi digantung dan sesi penggambaran filem terpaksa ditunda.

Namun perkara itu juga menyebabkan timbul pelbagai spekulasi mengenai produksi filem, termasuk filem aksi sejarah "Takht" arahan Karan Johar, atau KJo, yang terpaksa ditangguhkan produksinya baru-baru ini.

"Artikel berita dan spekulasi yang telah tersebar mengenai pembikinan "Takht" adalah tidak berasas dan sama sekali tidak benar!

"Saya ingin meminta kepada semua pihak media supaya lebih memberi fokus terhadap isu relevan dan kritikal yang melanda negara kita (India) dan elakkan dari menulis laporan palsu!" tegasnya menerusi laman Twitter.

Sebelumnya timbul spekulasi yang mengatakan produksi Dharma Productions milik KJo telah memulakan kerjasama dengan produksi T-Series milik Bhushan Kumar selepas Fox Star Studio menarik diri dari projek tersebut.

"Takht" merupakan sebuah projek filem besar yang dinanti-nanti ramai kerana ia menggabungkan nama-nama besar Bollywood seperti Kareena Kapoor Khan, Alia Bhatt, Bhumi Pednekar, Ranveer Singh, Vicky Kaushal dan ramai lagi.

Asalnya filem itu dijadualkan untuk mula produksi pada Mac namun situasi pandemik yang tidak mengizinkan telah menyebabkan penggambarannya terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang bakal diberitahu.

Diterbitkan oleh Hiroo Johar, Sandeep Sharma dan Apoorva Mehta, "Takht" dijangka akan menemui penonton di pawagam pada 2021.

(Sumber: Karan Johar Twitter)
(Sumber foto: Karan Johar Instagram)

Cinema Online, 04 Apr 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan