Kuman Pictures bawa kelainan dalam filem "Roh" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Kuman Pictures bawa kelainan dalam filem "Roh"

Penulis: Nisa Irina

Pengarah Emir Ezwan dan barisan pelakon filem "Roh".
Pengarah Emir Ezwan dan barisan pelakon filem "Roh".

6 Mac – Setelah muncul dengan dua buah filem cereka seram thriller, kini syarikat produksi Kuman Pictures sekali lagi tampil menerbitkan sebuah lagi naskhah seram berbajet rendah, "Roh", arahan Emir Ezwan.

Menurut pengasas dan penerbit eksekutif Kuman Pictures Amir Muhammad, dia memberi sepenuh kepercayaan dan kebebasan kepada pengarah untuk mencurahkan idea kreatif kepada jalan cerita filem ini.

"Emir adalah pengarah yang saya sangat hormati dan bagi saya filem pendek arahannya "RM10" adalah satu karya yang tulen. Kuman Pictures memang ingin memberi peluang kepada pengarah-pengarah baru.

"Selain itu, kami tidak campur tangan dalam proses kreatif kerana kami ingin memberi ruang kepada pengarah untuk bermain dengan idea asalkan tidak melebihi bajet," katanya yang ditemui pada majlis tayangan dan sidang media filem "Roh" di TGV 1 Utama, Petaling Jaya, semalam.

Seperti dijelaskan oleh Emir yang turut hadir ke majlis itu, filem "Roh" bukanlah seperti filem-filem seram lain yang mengandungi banyak 'jump scare' dan kelibat hantu, tetapi ia lebih kepada mitos dan kepercayaan.

"Memandangkan ini filem cereka pertama arahan saya, saya perlu melakukan banyak penyelidikan seperti membaca buku dan menonton filem-filem seram. Menerusi "Roh", saya ingin menghasilkan sebuah cerita yang membuatkan penonton berfikir.

"Saya mendapat inspirasi menerusi filem klasik Jepun "Onibaba" (1964), sebuah filem seram tetapi tidak mempunyai banyak hantu di dalamnya. Pada asalnya saya ingin menghasilkan "Roh" dalam hitam putih tetapi bimbang ia kurang mendapat sambutan.

"Kami juga ada meletakkan babak ngeri yang tidak terlalu melampau. Alhamdulillah, Lembaga Penapis Filem (LPF) meluluskannya tanpa potongan dan diklasifikasikan sebagai PG13," jelasnya dengan lebih lanjut.

Sedikit maklumat mengenai pengarah, Emir merupakan seorang pakar kesan visual Malaysia yang pernah bertindak sebagai penyelia kesan visual filem "Crossroads: One Two Jaga" (2018) dan "Motif" (2019).

Emir juga bertindak sebagai pengarah filem pendek "RM10" (2016) yang dipilih untuk bertanding di Festival Filem Antarabangsa Fribourg.

Dengan hanya berbekalkan bajet serendah RM360, 000, sesi penggambaran filem "Roh" telah berlangsung selama 15 hari di kawasan hutan Dengkil pada tahun lalu.

Filem ini hanya menampilkan enam orang pelakon sahaja iaitu Farah Ahmad, Mhia Farhana, Harith Haziq, Namron dan isteri Junainah M. Lojong, serta Putri Syahadah Nurqaseh.

Untuk rekod, filem "Roh" telah menerima tayangan perdananya di Festival Filem Antarabangsa Singapura dan Festival Filem Asia Jogja-NETPAC pada tahun lalu.

"Roh" bakal menghantui pawagam di seluruh negara bermula 19 Mac 2020.

Cinema Online, 06 Mac 2020

Filem Berkaitan:
Roh (Malay) (06 Aug 2020) [Showtimes] [Trailers]
Two Sisters (Mandarin) (18 Apr 2019)



Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE

Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan