"Mael Totey The Movie" temui penonton di Astro First | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"Mael Totey The Movie" temui penonton di Astro First

Penulis: Nisa Irina

"Mael Totey The Movie" angkat selebriti YouTube ke filem.
"Mael Totey The Movie" angkat selebriti YouTube ke filem.

20 Okt – Penerbit dan pengarah Syahmi Sazli mendedahkan bahawa perancangan asalnya adalah menerbitkan projek sulungnya, "Mael Totey The Movie" dalam versi siri televisyen sebelum diubah ke bentuk filem.

Menurut pemilik nama lengkap Muhd Syahmi Sazli itu, dorongan peminat menjadi pemangkin untuk menerbitkan filemnya sendiri selepas pernah membintangi sebuah filem.

"Kebetulan memang sudah ada idea asal "Mael Totey" tetapi ia untuk drama bersiri bagi tayangan di televisyen. Selepas berbincang, akhirnya karya ini diangkat menjadi filem.

"Perasaan saya sangat gementar kerana ini adalah kali pertama mengarahkan filem dan berlakon sekali.

"Dalam pada itu, saya juga gembira kerana berpeluang untuk bekerjsama lebih rapat dengan barisan kru berpengalaman luas dalam penghasilan filem.

"Semoga filem pertama arahan saya ini dapat diterima penonton dan mampu menjadi pemangkin buat saya bersama tenaga produksi untuk terus berkarya," ujar Syahmi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Filem ini mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya.

Namun Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu Bahasa Inggeris yang mengajarnya. Konflik antara Mael, cikgu dan Yaya diselesaikan oleh empat budak istimewa iaitu Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.

Memandangkan kes COVID-19 masih berada di tahap yang membimbangkan, Syahmi mengambil langkah untuk menayangkan "Mael Totey The Movie" di saluran Astro First.

Sehubungan dengan itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, ini adalah satu pendekatan baru bagi selebriti YouTube seperti Syahmi Sazli, Yoe Parey dan Asif Suhaimi untuk beralih ke skrin yang lebih besar seperti filem.

"Jika sebelum ini peminat hanya dapat menyaksikan drama spontan lakonan Syahmi Sazli, Yoe Parey dan Asif hanya di platform media sosial dengan durasi video kurang 20 minit, tetapi kali ini peminat boleh menonton mereka lebih lama dengan kualiti filem.

"Kreativiti Syahmi dalam menyampaikan penceritaan membuatkan penonton sering menanti karya seterusnya daripadanya.

"Keterujaan tersebut bukan sahaja dapat dilihat menerusi respon video pendek yang dihasilkan sebelum ini, tetapi juga menerusi video teaser yang telah dikongsikan di platform media sosial pada minggu lalu," katanya.

Selain Syahmi, filem ini turut dibintangi Yoe Parey, Asif Suhaimi, Emaleen Minhad, Aween Ismail serta pelakon tanah air seperti Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid, Kamarool Yusoff dan ramai lagi.

"Mael Totey The Movie" akan menemui penonton di Astro First (saluran 480) bermula 22 Oktober ini!

(Sumber foto: Mael Totey Official Instagram)

Cinema Online, 20 Okt 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan