"Mael Totey The Movie" raih kutipan RM2.56 juta dalam empat hari tayangan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"Mael Totey The Movie" raih kutipan RM2.56 juta dalam empat hari tayangan

Penulis: Nisa Irina

"Mael Totey The Movie" cetus fenomena luar biasa dan berjaya pecah rekod.
"Mael Totey The Movie" cetus fenomena luar biasa dan berjaya pecah rekod.

27 Okt – Personaliti media sosial Syahmi Sazli melakar sejarah sendiri apabila filem pertama arahan dan terbitannya, "Mael Totey The Movie" berjaya meraih kutipan RM2.56 juta dalam tempoh empat hari tayangan di Astro First.

Menurut pemilik nama lengkap Muhd Syahmi Sazli itu, dorongan peminat merupakan pemangkin utama untuk menerbitkan projek sulungnya apabila pernah membintangi sebuah filem sebelum ini.

Sehubungan dengan itu, Syahmi meluahkan rasa syukur dan memberi penghargaan kepada orang ramai, terutamanya para peminat, yang setia memberi dorongan dan sokongan kepada filem tersebut.

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penonton, peminat, pengikut kami serta semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung yang memberi sokongan padu pada filem ini.

"Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan terima kasih buat pihak Astro serta radio yang banyak membantu dan memberi sokongan dari fasa produksi sehingga fasa promosi sekarang ini.

"Tidak dilupakan buat rakan media yang tidak putus-putus menghebahkan karya-karya saya selama ini. Saya tidak menyangka filem arahan pertama saya akan mendapat sambutan luar biasa," katanya.

Tambah Syahmi lagi, fenomena yang tercetus ini memberi semangat baharu buat dirinya untuk terus menghasilkan karya-karya yang lebih baik pada masa akan datang.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya sentiasa komited dalam membantu membuka ruang buat penerbit tempatan untuk menayangkan karya kepada penonton sasaran dalam tempoh ini.

"Sesuatu yang agak istimewa tentang "Mael Totey The Movie", ia merupakan hasil filem pertama produksi dan arahan bakat kreatif, Syahmi Sazli dan kejayaan ini telah menambahkan lagi sinar harapan baru buat industri perfileman tempatan yang terjejas akibat Covid-19.

"Disamping itu, kejayaan ini juga secara tidak langsung telah melahirkan bakat baru dan menjadi 'game changer' di dalam industri di mana seorang YouTuber berusaha memajukan diri ke tahap yang lebih tinggi.

"Sokongan positif diberikan oleh para penonton mendorong pihak kami untuk membawakan lebih banyak filem yang dilihat berpotensi sebagai karya terbaik dan menepati cita rasa penonton," katanya.

Secara tidak langsung, kejayaan ini menjadikan "Mael Totey The Movie" sebagai filem pertama dengan kutipan paling tinggi di Astro First sekaligus memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang filem "Syif Malam Raya".

"Mael Totey The Movie" mengangkat genre drama komedi dan mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya. Tetapi Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu Bahasa Inggeris yang mengajarnya. Konflik antara Mael, cikgu danYaya diselesaikan oleh empat budak istimewa, Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.

Selain Syahmi, filem ini turut dibintangi Yoe Parey, Asif Suhaimi, Emaleen Minhad, Aween Ismail serta pelakon tanah air seperti Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid, Kamarool Yusoff dan ramai lagi.

"Mael Totey The Movie" kini ditayangkan di Astro First (saluran 480) sejak 22 Oktober lalu.

(Sumber foto: Mael Totey Official Instagram)

Cinema Online, 27 Okt 2020

Waktu Tayangan