Buletin
Mahie Gill disahkan sertai filem seram "Durgavati"


Tarikh disiarkan: 22 Januari 2020

Mahie Gill akan jayakan watak seorang pegawai polis.
Mahie Gill akan jayakan watak seorang pegawai polis.

22 Jan – Pembikin filem mengesahkan aktres Mahie Gill telah dipilih untuk menerajui filem seram arahan G. Ashok berjudul "Durgavati" bersama Bhumi Pednekar.

"Mahie bersetuju untuk terlibat sama dalam filem ini pada awal bulan dan sudah pun memulakan persiapan awal.

"Dia telah beberapa kali berjumpa dengan G. Ashok untuk berbincang mengenai penampilan wataknya, iaitu seorang polis yang menyiasat kes berkenaan watak Bhumi.

"Dia akan menyertai kumpulan produksi di set beberapa hari selepas Bhumi mula menjalani penggambaran," dedah satu sumber yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Sesi penggambaran akan bermula pada 23 Januari di Madhya Pradesh dan akan difilemkan di beberapa lokasi sebenar, termasuk Moti Mahal, Sadar Manzil, Institut Sains dan Teknologi Oriental serta kampung Poha Bhata.


Buat pengetahuan lanjut, filem itu merupakan sebuah adaptasi versi Hindi kepada filem Telugu "Bhaagamathie" yang dibintangi Anushka Shetty pada 2018, mengisahkan seorang wanita yang dipenjarakan dan disoal siasat dalam rumah berhantu.

"Durgavati" diterbitkan oleh Bhushan Kumar dengan kerjasama Akshay Kumar dan Vikram Malhotra. Ini merupakan kerjasama kedua Mahie bersama Akshay selepas filem "Hey Bro" yang ditayangkan pada 2015.

(Sumber foto: Mahie Gill Twitter)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide