Mira Filzah teruja jayakan watak kembar dalam "Bidadari Kiriman Tuhan" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Mira Filzah teruja jayakan watak kembar dalam "Bidadari Kiriman Tuhan"

Penulis: Nisa Irina

Mira Filzah bawa watak kembar Manis dan Manja dalam Bidadari Kiriman Tuhan.
Mira Filzah bawa watak kembar Manis dan Manja dalam "Bidadari Kiriman Tuhan".

30 Jun – Pelakon dan pengacara Mira Filzah berkongsi keterujaannya menjayakan watak kembar buat pertama kali dalam drama bersiri terbaru "Bidadari Kiriman Tuhan" arahan Rashid Sibir.

Menerusi drama bersiri itu, Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, disatukan semula dengan pelakon gandingannya dalam filem aksi "Sangkar" iaitu Zul Ariffin.

Mira yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran bagi watak kembarnya, Manis Suhaila dan Manja Suhana, berkongsikan fotonya bersama kumpulan produksi di laman Instagram.

"Alhamdulillah, it's a wrap for Manis dan Manja! (4.27 A.M). Pertama kali bawa dua watak kembar dan salah seorang pula ada autism. Berdebar pula menantikan tayangannya di TV!

"Kini hanya tinggal babak terakhir untuk watak Mak dan Nenek, selepas itu Mak dan Nenek pun habis! Alhamdulillah, syukur, Allah permudahkan segala urusan penggambaran," tulisnya di ruangan kapsyen Instagram.

Dalam pada itu, Mira turut berkongsikan sebuah video berbentuk 'teaser' drama bersiri itu bersama Zul di laman Twitter dan rata-rata para peminat teruja menantikan gandingan mereka di kaca televisyen.

Selain Mira dan Zul, drama bersiri itu akan menampilkan barisan pelakon lain seperti Ruminah Sidek, Adlin Aman Ramlie, Zarina Zainuddin, Fauziah Nawi, Maisara Sufia dan Ruzaidi Abd Rahman.

"Bidadari Kiriman Tuhan" bakal disiarkan menerusi saluran Astro Ria dan Ria HD tidak lama lagi.

Terdahulu, Mira pernah membintangi drama bersiri berjudul "Lelaki Kiriman Tuhan" arahan Rashid Sibir, di mana dia digandingkan dengan Remy Ishak, yang juga pelakon filem "Sangkar".

(Sumber foto: Mira Filzah Instagram)

Cinema Online, 30 Jun 2020

Filem Berkaitan:
Sangkar (Malay) (29 Aug 2019)
Rise: Ini Kalilah (English / Malay / Tamil / Chinese) (13 Sep 2018)


Waktu Tayangan