Nadiya Nisaa kongsi cabaran jayakan babak dalam "ImagiNur" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Nadiya Nisaa kongsi cabaran jayakan babak dalam "ImagiNur"

Penulis: Nisa Irina

 Nadiya Nisaa akui belum bersedia sepenuhnya untuk jayakan babak filem
Nadiya Nisaa akui belum bersedia sepenuhnya untuk jayakan babak filem "ImagiNur".

6 Jul – Pelakon Nadiya Nisaa berkongsikan pengalamannya menjayakan salah satu babak dalam filem terbaru, "ImagiNur", yang dianggap sebagai satu babak yang sukar dan mencabar.

Perkongsian itu telah dibuat menerusi satu entri yang dimuat naik di laman Instagram, di mana Nadiya, atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa Kamaruddin, terlibat dengan sesi penggambaran yang disambung semula baru-baru ini.

"Malam tadi (Sabtu) adalah satu babak yang sukar bagi saya dalam #Imaginur. Kadang-kadang babak yang nampak mudah tetapi susah untuk kita sampaikan. Saya biarkan diri saya berkuasa dalam membuat pilihan untuk lakonan saya.

"Kebiasaannya saya hanya akan biarkan watak saya bertindak mengikut situasi tanpa terlalu banyak berfikir tetapi semalam salah saya. Saya belum siap. Walhal para pelakon lain sudah lebih bersiap sedia.

"Lalu, apabila diberi nota banyak kali oleh pengarah, saya buntu. Setiap kali selepas satu-satu 'take', pengarah akan berlari ke kita untuk sampaikan satu-satu pembetulan, perasaannya seperti babak ahli sukan dan jurulatih yang selalu kita tengok di TV.

"Baru semangat datang. Berlakon ini pada saya perlu tahap fokus yang tinggi. Perlu peka. Perlu bijak. Tarik nafas, Bismillah dan pandang ke dalam mata mereka, dan ia bukanlah satu persembahan solo," tulisnya di ruangan kapsyen.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, sesi penggambaran yang sepatutnya bermula pada Mac lalu terpaksa ditunda gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Diarahkan oleh Nik Amir Mustapha, "ImagiNur" turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Beto Kusyairy, Diana Danielle, Mior Hashim Manap, Fatimah Abu Bakar, Dato' Rahim Razali dan Afdlin Shauki.

Dalam perkembangan lain, Nadiya juga akan dilihat berlakon menerusi filem biografi epik sejarah, "Mat Kilau", arahan Syamsul Yusof, bersama pelakon lain seperti Adi Putra, Beto Kusyairy, Johan As'ari dan Fattah Amin.

(Sumber foto: Nadiya Nisaa Instagram)

Cinema Online, 06 Jul 2020

Filem Berkaitan:
Bu (Malay) (11 Apr 2019)
Gol Dan Gincu Vol. 2 (Malay) (25 Oct 2018)
Dukun (Malay) (05 Apr 2018)


Waktu Tayangan