Nama Sushmita Sen diabadikan di lengan Rohman Shawl | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Nama Sushmita Sen diabadikan di lengan Rohman Shawl

Penulis: Nisa Irina

Sushmita Sen dan Rohman Shawl kenal antara satu sama lain melalui Instagram.
Sushmita Sen dan Rohman Shawl kenal antara satu sama lain melalui Instagram.

2 Dis – Sebagai tanda cinta kepada teman wanitanya yang juga aktres Bollywood Sushmita Sen, model Rohman Shawl mengabadikan nama Sushmita menerusi tatu yang diukir pada lengannya.

Foto yang dikongsikan menerusi Instagram Story milik Rohman baru-baru ini ternyata berjaya mencuri perhatian para peminat.

"Dakwat ini tidak kekal, tetapi cinta terus kekal," tulis Rohman sebagai kapsyen foto itu dengan tanda pagar #Rohmance.

Seperti yang dilaporkan oleh Filmfare, bekas juara pertandingan ratu cantik Miss Universe 1994 itu turut berkongsikan semula foto tersebut di Instagram Story miliknya.

Pasangan romantik itu mengesahkan mereka sedang bercinta pada 2018, setelah mengenali sesama sendiri menerusi Instagram.

Jarak usia 15 tahun ternyata bukan penghalang bagi pasangan itu untuk kekal bahagia seperti yang dikongsikan menerusi foto dan video yang dimuat naik di Instagram mereka.

Walau bagaimanapun, bintang filem "Maine Pyaar Kyun Kiya?" itu pernah mengakui dia masih belum merancang untuk melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, setelah lima tahun berehat dari dunia lakonan, Sushmita kembali dengan siri web berjudul "Aarya" yang ditayangkan menerusi sebuah portal penstriman berbayar pada Jun lalu.

(Sumber: Filmfare)
(Sumber foto: Filmfare & Sushmita Sen Instagram)

Cinema Online, 02 Dis 2020

Waktu Tayangan