Namron sentiasa terbuka untuk berlakon dengan isteri | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Namron sentiasa terbuka untuk berlakon dengan isteri

Penulis: Nisa Irina

Namron memegang watak Pemburu dalam filem "Roh".
Namron memegang watak Pemburu dalam filem "Roh".

10 Mac – Pelakon terkenal Namron memberitahu dia sentiasa bersikap terbuka untuk digandingkan dengan isterinya yang juga pelakon, June Lojong, dalam mana-mana naskhah pada masa akan datang.

"Saya tak pernah meletakkan had untuk berlakon dengan isteri. Saya tak kisah. Jika sesebuah tawaran itu untuk saya seorang, saya terima sahaja. Saya hanya ikut keadaan.

"Jika tawaran itu memerlukan kami berdua, pihak produksi perlulah berbincang dengan isteri saya terlebih dahulu kalau dia mahu terima atau tak," katanya yang ditemui pada majlis tayangan dan sidang media filem "Roh" di TGV 1 Utama, Petaling Jaya.

Buat pengetahuan lanjut, filem "Roh" merupakan naskhah kedua Namron dan June digandingkan bersama di layar lebar selepas filem "Redha" (2016) arahan Tunku Mona Riza.

Menurut Namron, dia menerima tawaran untuk membintangi filem itu pada saat-saat akhir bagi menggantikan tempat seorang pelakon lelaki yang tidak berkesempatan untuk menjayakan watak Pemburu.

"Ianya satu cabaran juga buat saya kerana saya tak sempat menyertai sesi latihan dari awal. Semua persiapan saya perlu berbincang dengan Emir (pengarah) di lokasi penggambaran.

"Saya senang bekerja dengan Emir kerana dia memberi kebebasan kepada pelakon untuk membawa watak masing-masing. Saya risau juga kerana apabila dia terlalu memberi kebebasan, saya tak tahu bagaimana nak gunakannya.

"Antara cabaran lain yang saya hadapi dalam filem ini ialah berlakon dalam hutan tanpa memakai kasut, berbaring atas bangkai haiwan dan memakai kanta lekap.

"Cabaran paling sukar adalah babak terakhir saya dan June, yang mana kami lakonkan pada waktu kira-kira empat pagi jadi memang sangat letih. Babak itu memerlukan banyak tenaga kerana kami perlu duduk dalam jarak jauh," jelasnya.

Filem "Roh" merupakan nashkah seram ketiga terbitan Kuman Pictures, diarahkan oleh Emir Ezwan yang pertama kali mengarah filem cereka. Ia bakal ditayangkan di pawagam bermula 19 Mac ini.

Sebelumnya, Namron dan Emir pernah bekerjasama dalam menjayakan filem "Crossroads: One Two Jaga", di mana Emir bertindak sebagai penyelia kesan visual.

Beralih ke perkembangan lain, Namron bakal muncul dalam beberapa filem terbaru yang kini dalam proses pos-produksi seperti "PASKAU" dan "Mat Kilau".

Walau bagaimanapun, buat masa ini tiada sebarang butiran mengenai tarikh rilis filem tersebut yang dikongsikan oleh pihak produksi.

Selain itu, filem komedi "Mencari Rahmat" lakonan Namron dan Amerul Affendi juga dijangka untuk ditayangkan pada bulan Jun tahun ini.

Cinema Online, 10 Mac 2020

Filem Berkaitan:
Roh (Malay) (06 Aug 2020) [Trailers]
Wira (Malay) (21 Nov 2019)
Geran (Malay) (10 Oct 2019)


Waktu Tayangan